Di sebalik pertikaian pelbagai pihak, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertahankan keputusan Speaker Parlimen, Tan Sri Johari Abdul, mengekalkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen (AP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong kepimpinannya.
Tegas Datuk Anwar, Speaker Parlimen membuat keputusan tepat berdasarkan Perlembagaan dan mengikut tafsiran undang-undang.
Beliau turut membidas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya membaca tafsiran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung akta antilompat parti secara keseluruhan dan bukan sebahagian.
Datuk Anwar turut mengimbau sambil mengingatkan Bersatu bahawa semasa perbincangan mengenai undang-undang itu dilakukan sebelum diluluskan, parti itu yang menentang supaya keahlian AP yang dipecat daripada parti gugur secara automatik.
“Kalau tafsiran undang-undang kena baca seluruhnya, jangan pilih satu dan tinggal yang lain seperti mana dilakukan pimpinan Bersatu. Ikut undang-undang. Bukan soal Perdana Menteri, soal ketua pembangkang... ikut undang-undang dan tafsiran undang-undang itu serah kepada Speaker.
“Dulu kita (AP Pakatan Harapan) yang berkeras mahu masukkan bahagian kalau AP dipecat sekalipun, mesti gugur (kerusi), tetapi ditentang Bersatu pada ketika itu. Sebab itu dimasukkan dalam terkecuali, jadi kena baca Perlembagaan,” katanya.
Tan Sri Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada 11 Julai, turut menjawab kenyataan Datuk Anwar dengan mendakwa Pengerusi PH itu tidak memahami Perlembagaan berkaitan akta antilompat parti.
“Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana AP yang terhenti menjadi ahli partinya maka kerusinya di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Julai.
Pada 10 Julai, Tan Sri Muhyiddin menyatakan kekecewaan dengan keputusan Speaker Parlimen dan memaklumkan partinya memutuskan untuk mengambil langkah susulan melantik pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Selain itu, AP Pasir Gudang dari kerajaan, Encik Hassan Abdul Karim, mengkritik keputusan Speaker itu dan menyifatkannya berlawanan aspirasi rakyat untuk menghentikan amalan lompat parti, ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’ menerusi akta antilompat parti.
“Amat malang dan sedih kerana keputusan Speaker tidak didukung oleh hujah yang mantap. Saya melihat Speaker memutuskan berdasarkan kepentingan politik kepartian yang gagal menghormati asas kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” katanya.
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pula menyifatkan Tan Sri Johari terkhilaf dan mensia-siakan peluang untuk menguatkuasa dan memperkasa Akta Perlembagaan (Pindaan) berkait larangan AP bertukar parti, yang buat kali pertama diuji dalam sejarah politik negara.
Sementara itu, enam bekas AP Bersatu terbabit dalam satu kenyataan pada 11 Julai menyatakan akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas susulan keputusan Speaker memutuskan kerusi mereka tidak perlu dikosongkan.
Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang mewakili kumpulan itu turut menegaskan tidak akan menyertai mana-mana parti politik lain selepas ini, selaras dengan Perkara 49A yang jelas tidak membolehkan mereka menyertai mana-mana parti.
Lima lagi wakil rakyat terbabit ialah AP Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Encik Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang); dan Encik Zahari Kechik (Jeli).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg