Jabatan agama Islam Johor kesan cubaan promosi semula ajaran sesat Ahmadi
Jabatan agama Islam Johor kesan cubaan promosi semula ajaran sesat Ahmadi
JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) mengambil tindakan terhadap cubaan mempromosikan semula ajaran sesat Ahmadi di negeri itu, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata tindakan sewajarnya sudah diambil Jainj, termasuk menurunkan bahan-bahan promosi yang dikenal pasti membabitkan ajaran berkenaan.
Beliau berkata ajaran Ahmadi sudah difatwakan sebagai sesat dan penyebaran fahaman tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam ahli sunah waljamaah yang menjadi pegangan rasmi di Johor.
“Sehubungan itu, Jainj sentiasa menjalankan pemantauan berterusan terhadap sebarang kegiatan, penerbitan atau bahan promosi yang berkaitan dengan ajaran sesat bagi memastikan ia tidak disebarkan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada 29 Januari.
Encik Mohd Fared turut menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam usaha memelihara kesucian akidah umat Islam serta memastikan ajaran yang bercanggah dengan Islam tidak bertapak di negeri itu.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat dan membuat laporan kepada Pejabat Kadi Daerah yang berhampiran atau melalui saluran rasmi pihak berkuasa agama sekiranya mengesan sebarang kegiatan, pengajaran atau bahan berkaitan ajaran sesat.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keharmonian agama dan ketenteraman awam di negeri itu terus terpelihara,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu tular gambar kain rentang mempromosikan ajaran sesat itu yang dikesan dipasang di lokasi tumpuan ramai di Muar pada 23 Januari.
Bagaimanapun, pihak berkuasa dan polis sudah bertindak menurunkan kain rentang berkenaan.

