Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor tindak tegas terhadap individu kembali amal fahaman GISBH

Dec 1, 2025 | 1:47 PM
ajaran sesat, gisbh, johor
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid. - Foto FACEBOOK MOHD FARED MOHD KHALID

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan mengenakan tindakan tegas termasuk pendakwaan terhadap individu yang kembali mengamalkan fahaman Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) selepas melalui program taubat dan pemulihan akidah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) sentiasa komited membimbing bekas pengikut yang masih terikat dengan amalan menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau menegaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, jelas bahawa pembasmian ajaran sesat di negeri itu perlu dilaksanakan dengan tegas tanpa kompromi.

“Saya ingin menasihatkan mereka yang masih memegang amalan salah ini supaya segera melapor diri kepada Jainj.

“Kita akan bantu untuk memurnikan kembali akidah mereka.

“Kami tidak selesa jika terpaksa menggunakan kekerasan dan juga pendakwaan. Tapi kalau itu (kekerasan dan pendakwaan) perlu, saya beri komitmen bahawa Kerajaan Johor tidak teragak-agak untuk melaksanakannya.

“Kesemua 277 bekas pengikut GISBH negeri Johor hadir mengikuti kursus ini selama 36 sesi kelas secara sukarela sejak 2024,” katanya lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada Program Pemantapan Akidah dan Istitabah (taubat) yang membabitkan 277 bekas ahli GISBH di Masjid As’Syifa Bandar Penawar pada 30 November.

Menurut Encik Mohd Fared, dalam tempoh pemulihan bekas ahli GISBH yang mengikuti program pemantapan itu, diberikan bantuan sara hidup, perniagaan dan persekolahan untuk anak-anak mereka.

“Pemantapan akidah peringkat kedua akan membabitkan bekas pengikut ajaran sesat seperti Ajaran Ahmadi dan Si Hulk dijangka bermula pada awal 2026.

“Begitu juga dengan individu yang dikesan terbabit ritual kuda kepang akan menyertai program pemantapan akidah,” katanya.

Encik Mohd Fared yang juga Pengerusi Pembanteras Ajaran Sesat Negeri Johor, menjelaskan usaha membanteras ajaran sesat akan terus dilakukan dengan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, Encik Fared dilaporkan berkata sebahagian besar daripada kumpulan GISBH, akan menyertai Program Pemantapan Akidah dan Istitabah pada 30 November.

Beliau berkata program anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) itu akan diadakan di sebuah masjid di Bandar Penawar, bertujuan memurnikan semula akidah golongan terbabit yang sebelum ini terpengaruh dengan ajaran yang difatwakan menyeleweng dan menyalahi syariat Islam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg