JOHOR BAHRU: Jabatan Landskap Negeri Johor (JLNJ) mengemukakan permohonan pembangunan berjumlah RM2.79 juta ($870,126) bagi melaksanakan sembilan komponen utama di seluruh negeri itu pada 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata antara tumpuan utama ialah pembangunan Taman Botani Johor di Seri Medan, Batu Pahat, yang dicadangkan menerima RM500,000.

Jumlah itu mewakili 17.92 peratus daripada keseluruhan permohonan pembangunan JLNJ bagi 2027.

Daripada peruntukan tersebut, RM300,000 diusul bagi pembinaan turapan konkrit saling mengunci, manakala pembinaan rumah hijau serta sistem pam dan tangki air masing-masing akan diperuntukkan RM100,000.

“Taman Botani Johor yang berkeluasan 245 ekar (99.15 hektar – sebesar Gardens by the Bay) mempunyai fungsi riadah, pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.

“Pembangunannya mesti benar-benar meningkatkan pengalaman pengunjung serta mengukuhkan fungsi taman ini untuk jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Sesi Pembentangan Belanjawan JLNJ Tahun 2027 pada 15 September.

Datuk Mohd Jafni berkata landskap tidak seharusnya dilihat sebagai unsur untuk mencantikkan atau menghijaukan sesuatu kawasan semata-mata.

Sebaliknya, ia berkait secara langsung dengan keselesaan rakyat, ruang riadah keluarga, persekitaran sekolah, masjid dan surau serta mutu ruang awam yang digunakan setiap hari.

Sebanyak RM400,000 pula disaran bagi membangunkan dua Taman Komuniti di bawah Majlis Daerah Labis dan Majlis Daerah Tangkak.

Setiap taman dicadangkan menerima RM200,000 bagi menyediakan kemudahan seperti laluan pejalan kaki, pondok wakaf, taman permainan kanak-kanak dan pokok teduhan.

“Saya mahu taman masyarakat ini menjadi ruang yang benar-benar hidup, iaitu tempat keluarga beriadah, kanak-kanak bermain, warga emas bersantai dan penduduk setempat menjalankan kegiatan bersama.

“Projek seperti ini mungkin kelihatan sederhana, tetapi kesannya sangat dekat dengan kehidupan harian rakyat,” katanya.

Tiga lagi komponen utama masing-masing melibatkan permohonan RM500,000 bagi melaksanakan 20 projek pengindahan di pejabat kerajaan dan agensi negeri, 20 projek di masjid serta surau dan 20 projek di sekolah.

Setiap projek dicadangkan menerima RM25,000.

Datuk Mohd Jafni berkata kawasan landskap di sekolah boleh dimanfaatkan sebagai ruang pembelajaran di luar bilik darjah.

Di masjid dan surau pula, kawasan berkenaan boleh dijadikan ruang lebih selesa bagi pembelajaran, kegiatan kariah dan kegunaan masyarakat.

“Landskap mesti mempunyai fungsi dan nilai kepada manusia, bukan sekadar siap untuk dilihat,” katanya.

JLNJ turut menyarankan RM40,000 bagi menyediakan dua pelan gagasan untuk Majlis Perbandaran Pontian dan Majlis Daerah Mersing.

Pelan berkenaan bertujuan memastikan pembangunan landskap dan kawasan lapang dapat dirancang secara lebih teratur serta seimbang dengan pembangunan fizikal dan pemeliharaan alam sekitar.