Kerajaan Johor akan menubuhkan sebuah pasukan khas bagi merangka usaha membaik pulih dan membangunkan semula Xtreme Park Kluang yang telah lama terbengkalai supaya dapat digunakan semula oleh masyarakat, khususnya golongan belia.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Syed Hussien Syed Abdullah, berkata cadangan terperinci mengenai pembangunan semula kawasan itu dijangka dibentangkan kepada kerajaan negeri minggu depan.

Beliau berkata penubuhan pasukan khas berkenaan dipersetujui selepas lawatan bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, Timbalannya, Encik Zaidi Japar, serta pegawai agensi daerah Kluang pada 4 Ogos.

“Hasil perbincangan, sebuah pasukan khas akan ditubuhkan untuk membaik pulih tempat tersebut bagi kegunaan warga Kluang, terutama golongan belia.

“Pembentangan akan dibuat kepada kerajaan negeri minggu hadapan dan dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Laluan pejalan kaki di Xtreme Park Kluang yang telah roboh.
Laluan pejalan kaki di Xtreme Park Kluang yang telah roboh. - Foto FACEBOOK SYED HUSSIEN SYED ABDULLAH

Syed Hussien berkata lawatan pada 3 Ogos itu turut memberi ruang kepada pihak berkaitan membentangkan cadangan menaik taraf Xtreme Park dengan kemudahan yang lebih moden, selamat dan mesra pengguna.

Katanya, kawasan itu berpotensi menjadi pusat rekreasi dan sukan lasak yang berkualiti untuk golongan muda, keluarga serta masyarakat setempat.

“Saya berharap segala usaha dan perancangan yang dibincangkan dapat direalisasikan demi menyediakan ruang rekreasi serta sukan lasak yang lebih berkualiti, selain menyumbang kepada pembangunan Kluang,” katanya.

Sementara itu, Datuk Mohd Jafni berkata Xtreme Park Kluang yang dibangunkan sejak 2018 mempunyai potensi besar untuk dijadikan tarikan baharu di daerah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beberapa isu perlu diselesaikan terlebih dahulu, termasuk status tanah yang membabitkan sebahagian tanah Majlis Agama Islam Negeri Johor, tanah kerajaan dan tanah persendirian.

Keadaan fizikal tapak yang tinggi dan curam juga memerlukan penelitian teknikal sebelum sebarang pembangunan lanjut dapat dilaksanakan.

Menurut Datuk Mohd Jafni, antara komponen yang dicadangkan ialah penambahbaikan trek basikal lasak BMX, zon papan selaju, laluan pejalan kaki dan orang kurang upaya, kawasan meletak kenderaan serta ruang rehat.

Cadangan itu turut merangkumi pemasangan lampu, pagar keselamatan, tandas awam, gerai niaga dan pintu gerbang utama.

“Semua ini bukan sekadar untuk mencantikkan kawasan, tetapi bagi memastikan kemudahan yang dibina benar-benar selamat, berfungsi dan memberi keselesaan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata beberapa kerosakan pada trek serta kelemahan sistem saliran yang menyebabkan limpahan air, hakisan tanah dan kerosakan longkang turut dikenal pasti.

Katanya, masalah itu perlu diberikan keutamaan supaya kerja naik taraf tidak hanya bersifat luaran, sebaliknya menyelesaikan punca sebenar kerosakan.

Datuk Mohd Jafni berkata pelan pembangunan kawasan itu perlu disusun mengikut tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang serta melibatkan kerjasama antara Pejabat Daerah Kluang, Majlis Perbandaran Kluang, Pejabat Tanah dan agensi teknikal.