Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jais sedang pantau kegiatan dijalankan ahli Global Ikhwan

Sep 12, 2024 | 4:40 PM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang melaksanakan pemantauan berterusan berhubung sebarang aktiviti ahli Global Ikhwan Service & Business Holding (GISBH).

Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata aktiviti ahli antara yang sentiasa dipantau secara rapat oleh Jais berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.

“Istitabah (menganjurkan taubat) yang diuruskan oleh Jais pada 8 November 2013 tidak pernah membatalkan fatwa mengenai kepercayaan dan amalan yang membabitkan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.

“Berhubung dengan isu GISBH yang sedang tular, pihak Jais sudah meneliti 19 video yang dimuat naik di media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas).

“Penelitian dibuat bagi mengukuhkan lagi hasil siasatan sedia ada dan bagi mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak lain bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 September.

Datuk Mohd Shahzihan berkata pihak Jais juga sudah berbincang dengan polis berhubung barang rampasan daripada serbuan ke atas 18 buah premis pada 11 September.

“Jais sudah berbincang dengan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia)  supaya barang rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli GISBH diserahkan kepada pihak Jais untuk siasatan lanjut,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Berikutan tindakan PDRM katanya, dua daripada premis yang diserbu adalah Sekolah Rendah Islam yang berdaftar dengan Jais iaitu Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah yang didaftarkan pada Januari 2015 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember 2025.

“Sekolah berkenaan terdiri daripada 12 guru dan kakitangan serta 104 pelajar lelaki dan perempuan yang menggunakan silibus Jais.

“Sepanjang pemantauan dibuat di sekolah itu pada 13 Januari 2023, 23 Mac 2023 dan 26 Julai lalu, tidak wujud sebarang penyelewengan yang dikesan.

“Sebuah lagi sekolah iaitu Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly yang didaftarkan pada 12 November 2014 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember 2024.

“Maahad ini terdiri daripada tiga orang kakitangan dan 54 pelajar lelaki dengan menggunakan kurikulum tahfiz sendiri,” katanya.

Jelas beliau, sebanyak lapan buah sekolah yang disyaki di bawah GISBH berdaftar dengan Jais.

“Dua daripadanya sudah menutup operasi secara sukarela, manakala dua lagi tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftaran, manakala baki masih lagi beroperasi sehingga 2028,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg