Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M’sia selamatkan 402 penghuni rumah amal yang didakwa dieksploitasi

Kanak-kanak, remaja berusia satu hingga 17 tahun diajar dan dipaksa lakukan liwat
Sep 12, 2024 | 1:22 PM
Keadaan dalam rumah amal yang diserbu polis dalam Op Global pada 11 September di Selangor dan Negeri Sembilan.
Keadaan dalam rumah amal yang diserbu polis dalam Op Global pada 11 September di Selangor dan Negeri Sembilan. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila ada kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan daripada 20 rumah amal dikendalikan sebuah kumpulan perniagaan bermotifkan agama mendakwa mereka dieksploitasi, diajar dan dipaksa melakukan liwat.

Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata itu antara modus operandi dikesan polis selepas pasukannya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun daripada 18 rumah amal didakwa kendalian Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) sekitar Selangor, dan dua lagi di Negeri Sembilan.

Katanya hasil serbuan dalam Op Global dari 6 hingga 11 pagi pada 11 September itu, pihaknya mengesyaki berlaku kesalahan eksploitasi, pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.

Menurutnya, daripada 402 yang diselamatkan, 201 kanak-kanak serta remaja ialah lelaki dan 201 perempuan.

“Siasatan berdasarkan risikan dan kenyataan mangsa mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan dengan GISBH.

“Mangsa diajar cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak lain.

“Mangsa yang tidak sihat, tidak dibenarkan mendapat rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal.

“Pada masa sama, sentimen agama digunakan untuk menarik simpati dan juga mendapat sumbangan daripada luar,” katanya pada sidang media, lapor Harian Metro.

Tan Sri Razarudin berkata berdasarkan maklumat serta siasatan dijalankan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

“Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia 17 hingga 64 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata terdapat juga kanak-kanak yang didera menggunakan objek seperti sudu panas sebagai bentuk hukuman apabila anak-kanak terbabit melakukan kesilapan.

Polis juga sudah membuka empat kertas siasatan dan satu daripadanya mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk melaksanakan tuduhan, tambahnya.

Tambah beliau, dalam tempoh 2011 hingga 7 September lalu, polis telah menerima 41 laporan polis terhadap kumpulan perniagaan itu termasuk 19 di Selangor, Negeri Sembilan (13), Perlis (1), Kedah (3), Pulau Pinang (2), Kuala Lumpur (1), Melaka (1), Johor (5), Pahang (2), Terengganu (1) dan Sabah (1).

GISBH bagaimanapun tegas menafikan segala dakwaan dilemparkan kepada syarikat itu dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang melemparkan tuduhan, termasuk dakwaan mengajar dan melakukan liwat terhadap kanak-kanak dan remaja.

“Ini satu tuduhan berat untuk menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat, sekali gus mewujudkan persepsi negatif terhadap GISBH.

“Kami yakin wujud pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi dan terancang bagi menjatuhkan imej dan perniagaan syarikat kami.

“Kami menafikan segala tuduhan tersebut dan rumah amal yang dinyatakan itu jelas bukan di bawah kendalian GISBH. Juga, bukan menjadi dasar kami untuk merancang dan melaksanakan perkara bertentangan ajaran Islam,” kata GISBH dalam kenyataan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg