Topik diikuti
Pergi ke BHkuJajaran Skudai, Tebrau diberi keutamaan bagi pelaksanaan e-ART Johor
Jajaran Skudai, Tebrau diberi keutamaan bagi pelaksanaan e-ART Johor
JOHOR BAHRU: Jajaran Skudai dan Tebrau diberi keutamaan dalam cadangan pelaksanaan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) di Johor Bahru, berbanding jajaran Iskandar Puteri.
Ia bagi menangani kesesakan dan menyokong keperluan pengangkutan menjelang pengoperasian Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kerajaan negeri pada asalnya mencadangkan tiga jajaran tersebut, namun perlu menentukan keutamaan kerana projek berkenaan masih belum bermula.
Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini berharap e-ART dapat disiapkan seiring dengan RTS Link.
“Skudai dan Tebrau menjadi jajaran keutamaan kitalah berbanding jajaran ke Iskandar Puteri,” katanya dalam perkongsian mengenai pengangkutan awam Johor pada 27 Oktober.
Encik Fazli berkata sistem bertingkat dengan laluan khas dipilih kerana jalan raya di Johor Bahru sudah sesak dan mempunyai ruang terhad untuk dikongsi dengan pengangkutan awam tambahan.
Beliau menjelaskan bahawa sistem yang menggunakan jalan sedia ada mungkin sesuai di kawasan yang belum mengalami kesesakan tinggi, tetapi keadaan di Johor Bahru memerlukan pendekatan berbeza.
Laluan bertingkat akan memisahkan pergerakan e-ART daripada kenderaan persendirian bagi membolehkan perjalanan yang lebih lancar.
Menurutnya, kerajaan negeri terus berhubung dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan serta pihak berkaitan untuk menyegerakan pelaksanaan projek.
Cadangan lokasi stesen juga telah dikemukakan, namun butiran lanjut akan dikongsi selepas proses tender dan pemberian kontrak dimuktamadkan.
Sementara itu, Encik Fazli berkata tiga stesen tambahan dirancang di Pasir Putih, Bandar Baru Seri Alam dan Taman Daya bagi memperluas akses kepada perkhidmatan tren penumpang Pasir Gudang-Kempas.
Menurutnya, peruntukan telah diluluskan dengan pelaksanaan dijangka bermula pada 2027.
Usaha itu turut melibatkan penyelarasan pembinaan stesen, perkhidmatan bas serta kemudahan tempat letak kenderaan untuk pengguna menyambung perjalanan menggunakan pengangkutan awam.
“Oleh itu, mereka yang berada di kawasan Pasir Putih, Bandar Baru Seri Alam, Taman Daya juga boleh menikmati perkhidmatan ini akan datang,” katanya.
Perkhidmatan penumpang Pasir Gudang-Kempas bermula pada Jun 2026, menggunakan landasan yang sebelum ini digunakan untuk pengangkutan kargo.
Bagaimanapun, perkongsian landasan tunggal antara tren penumpang dengan kargo mengehadkan penyusunan perjalanan.
Encik Fazli berkata kerajaan negeri bercadang memohon naik taraf kepada landasan berkembar serta pelarasan landasan di Kempas supaya tren dari Pasir Gudang boleh meneruskan perjalanan ke JB Sentral tanpa penumpang perlu bertukar tren.
Bagi Komuter Selatan pula, permohonan mendapatkan 12 set tren baru dengan anggaran kos sekitar RM200 juta ($62 juta) sedang menunggu proses lanjut daripada kementerian berkaitan.
Tren itu dicadangkan untuk menambah atau menggantikan set sedia ada, selain meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
Menurutnya, laluan JB Sentral-Paloh menyediakan 10 perjalanan sehari, iaitu lima bagi setiap arah, dengan persinggahan di Kempas, Kulai, Layang-Layang, Renggam dan Kluang.
Kerajaan negeri berharap perbincangan dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dapat meningkatkan kekerapan perjalanan.
Encik Fazli turut menekankan kepentingan sambungan pengangkutan bagi pengguna RTS Link yang tiba di Bukit Chagar, termasuk bas, teksi, perkhidmatan e-hailing serta laluan pejalan kaki ke JB Sentral dan kemudahan berhampiran.