Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Jangan jadikan kematian pelajar di Sabah senjata politik’

Aug 18, 2025 | 3:42 PM
Zara Qairina, Anwar
Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, pelajar berusia 13 tahun dari Sabah, meninggal dunia pada 17 Julai, dan dipercayai menjadi mangsa buli. - Foto fail

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melahirkan rasa kesal apabila tragedi kematian pelajar berusia 13 tahun dari Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, dijadikan senjata politik oleh pihak tertentu, termasuk dalam menyerang kerajaan.

Datuk Anwar berkata ini termasuk tindakan pihak tertentu menggunakan media sosial sebagai medan penyebaran maklumat palsu yang sama sekali tidak boleh diterima, apatah lagi dengan mengambil kesempatan atas kematian orang lain.

“Demikianlah soal media sosial ini, kita kawal (tetapi) ada keterbatasannya. Umpamanya yang terbaru jadi serius, (apabila) seorang yang (mengakui) kata dia doktor, bagi gambaran (tentang kematian Zara), dan ini meracuni pemikiran jutaan orang yang yakin.

“Ada rakan-rakan kita yang tanya Perdana Menteri, apa ini, sampai begitu sekali? Maknanya orang itu sudah terkorban, kemudian kita jadikan ini sebagai satu senjata politik untuk menikam orang lain. 

“Kalau benar tak apa, mana boleh kita main-mainkan soal kematian orang itu, menipu dan menghasut begitu rupa. Tapi demikianlah keadaannya dan sebab itu kita harus ada kewarasan, dalam islam kita sebut tabayyun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, pada 18 Ogos. 

Dalam pada itu, beliau turut mengakui wujud kelemahan dalam proses siasatan awal kes Allahyarhamha Zara Qairina, namun memberi jaminan kerajaan melaksanakan siasatan dengan telus dan adil, tanpa melindungi sesiapa.

“Tentunya ada beberapa kesilapan yang dikenal pasti dalam proses siasatan, kelewatan dan sebagainya. Tetapi percayalah, kita cuba atasi dengan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut Datuk Anwar, kerajaan juga mengambil serius kes buli membabitkan kanak-kanak, termasuk kematian Allahyarhamha Zara Qairina dan Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman di Kelantan, yang meninggal dunia dalam tandas sebuah maahad tahfiz, pada 2013.

“Buli ini penderaan psikologi dan fizikal. Sama ada ia berlaku di sekolah, universiti, pejabat, itu harus dihentikan kerana merosakkan, Saya harap budaya ini dapat kita hentikan,” katanya.

Beliau menjelaskan mesyuarat peringkat tertinggi telah diadakan bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, selain memperbaiki kelemahan yang wujud termasuk dari segi kelewatan proses siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu, Sabah, menetapkan prosiding inkues berhubung kematian pelajar Allahyarhamha Zara Qairina, dalam menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematiannya, akan diadakan bermula 3 September depan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya (TPR) daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku pegawai pengendali yang diketuai Encik Mohd Fairus Johari daripada AGC Putrajaya, seramai 195 saksi dikenal pasti dipanggil untuk inkues berkenaan, termasuk ibu Allahyarham, Cik Noraidah Lamat, 45 tahun.

Allahyarhamha Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, meninggal dunia pada 17 Julai 2025, selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asramanya, dipercayai kerana terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg