KUALA LUMPUR: Siasatan kematian memilukan pelajar dari Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, memasuki fasa penting apabila siasatan polis dan inkues dijalankan serentak.
Ini bagi mengenal pasti punca kematian dan meneliti pelbagai kemungkinan, termasuk unsur jenayah seperti buli.
Hasil siasatan polis terhadap kes itu turut mematahkan beberapa spekulasi liar yang timbul, dengan beberapa pihak turut dikenakan tindakan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata pihaknya sudah mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil dan segala maklumat akan dikemukakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Ada keterangan yang timbul hasil siasatan pasukan petugas yang menjurus ke arah buli sebelum kejadian menimpa Zara Qairina,” katanya.
Setakat ini, pihaknya sudah merakam percakapan seramai 82 saksi dan menafikan pembabitan orang kenamaan (VVIP) dalam kes kematian Allahyarhamha Zara Qairina, sebagaimana dakwaan yang tular sebelum ini.
Pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan guru besar dan guru disiplin menyembunyikan kes itu.
Menurut Datuk Kumar, pegawai penyiasat yang terbabit dalam siasatan kes kematian pelajar itu turut disiasat, atas kegagalannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk memohon proses bedah siasat pada peringkat awal siasatan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas pegawai penyiasat dan penyelianya susulan dapatan hasil siasatan pasukan petugas Bukit Aman yang mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan membabitkan kematian Zara Qairina,” katanya.
Datuk Kumar berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian awal pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, di Papar, Sabah, itu ialah kecederaan otak disebabkan kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak.
Jelas beliau, polis turut membuka 15 kertas siasatan berkaitan berita palsu yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam serta menjejaskan proses siasatan kes kematian Allahyarhamha Zara Qairina.
Menurutnya, tindakan tegas diambil kerana penyebaran berita tidak benar boleh mempengaruhi persepsi awam terhadap kes yang masih dalam siasatan, selain menimbulkan kekeliruan.
“Antara berita palsu yang disiasat ialah dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh, yang disebarkan di media sosial.
“Bagi kes ini, polis menahan seorang wanita berusia 39 tahun di Rawang, Selangor, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Allahyarhamha ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Ogos di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.
Bagaimanapun, jenazah Allahyarhamha dikebumikan tanpa melalui proses bedah siasat, menyebabkan pusaranya terpaksa digali semula pada 9 Ogos untuk menjalani proses itu bagi mengenal pasti punca kejadian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg