JOHOR BAHRU: Seramai tujuh individu daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permas Jaya 2 termasuk murid, guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) diarah kuarantin selama 10 hari selepas didapati dijangkiti influenza A.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Encik Azman Tamin, berkata arahan kuarantin itu berkuatkuasa mulai 8 Oktober hingga 18 Oktober ini.
Beliau berkata daripada tujuh orang itu, lima adalah murid Kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah berkenaan dan masing-masing seorang guru dan PPM.
“Seramai 15 murid daripada kelas sama di sekolah itu turut menunjukkan gejala jangkitan. Sementara enam guru dan dua PPM yang lain disahkan bebas jangkitan dan dibenarkan bertugas seperti biasa,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata berikutan itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru mengeluarkan notis penutupan kelas PPKI selama 10 hari bermula 12.20 tengah hari pada 8 Oktober hingga 18 Oktober ini.
“Notis penutupan ini dilaksanakan mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan kawalan dan pencegahan penularan penyakit,” katanya dalam menerusi satu kenyataan media pada 9 Oktober.
Encik Azman berkata pihak sekolah juga diarahkan untuk melaksanakan kerja sanitasi di kawasan terbabit.
“Warga sekolah yang bergejala diingatkan untuk segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan tidak hadir ke sekolah sehingga sihat sepenuhnya.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor melalui Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang akan memantau kebajikan, keselamatan dan kesihatan murid PPKI serta memastikan semua prosedur kawalan kesihatan dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti membabitkan institusi pendidikan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan pada 9 Oktober memaklumkan semua negeri melaporkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor sebanyak 43 kluster; Kuala Lumpur dan Putrajaya (15 kluster); Pulau Pinang (10 kluster); Johor (sembilan kluster); dan Kedah (lima kluster).
“Majoriti kluster dilaporkan berlaku di sekolah menengah iaitu 32 kluster, sekolah rendah (26), tadika (15) dan sekolah swasta (sembilan).
“Peningkatan ini mencerminkan pola penularan influenza bermusim yang lazim berlaku dan setakat ini masih terkawal,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataannya pula, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil pendekatan berterusan dalam memastikan langkah kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit Penyakit Seperti Influenza (ILI) dilaksanakan secara menyeluruh di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg