Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kastam Johor tumpas sindiket seludup air zamzam, cecair rokok elektronik bernilai RM3.4j

Sep 12, 2025 | 1:28 PM
Kastam Johor, sindiket seludup air zamzam, cecair rokok elektronik
Pengarah Kastam Negeri Johor, Encik Aminul Izmeer Mohd Sohaimi (tengah), bersama air zamzam dan cecair rokok elektronik yang dirampas. - Foto JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA JOHOR

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan air zamzam dan cecair rokok elektronik dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan mencecah RM3.4 juta ($1.03 juta).

Pengarah Kastam Negeri Johor, Encik Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berkata kejayaan itu hasil operasi penguatkuasaan di Zon Bebas Pelabuhan Johor, Pasir Gudang dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, pada Ogos.

“Dalam kes pertama pada 5 Ogos, pasukan penguat kuasa merampas empat kontena yang disyaki membawa dagangan larangan di Bay Pemeriksaan Kontena, Zon Bebas Pelabuhan Johor.

“Pemeriksaan lanjut menemui 21,582 botol air zamzam bernilai RM2.58 juta yang diimport tanpa permit sah dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan RM647,460,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 September.

Menurut beliau, air zamzam dikategorikan sebagai barang larangan dan hanya boleh diimport dengan lesen sah mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Peraturan Zon Bebas 1991, yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya.

Dalam kes kedua pada 6 Ogos, unit mesin pengimbas mengesan imej mencurigakan daripada sebuah lori di Bay Pemeriksaan Eksport, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah.

Pemeriksaan lanjut menemui 256 kotak cecair rokok elektronik berjumlah 7,680 unit bernilai RM46,080, bersama duti dan cukai sebanyak RM9,676. Sebuah lori jenama Hino bernilai RM130,000 turut disita.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perakuan palsu. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tujuh tahun, atau kedua-duanya,” jelas Encik Aminul Izmeer.

Sehubungan itu, JKDM Johor menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyeludupan, khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

“Penyeludupan bukan sahaja mengakibatkan ketirisan hasil negara, malah turut mendatangkan ancaman keselamatan dan menjejas kesejahteraan rakyat. Kami beri jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam terdekat bagi melaporkan aktiviti mencurigakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg