Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatankuasa Menteri bakal jadi pemacu baru Zon Ekonomi Khas Johor-S’pura

MB Johor tekankan keperluan tadbir urus lebih tersusun demi manfaat dua hala M’sia-S’pura
Nov 27, 2025 | 2:18 PM
(Gambar atas) Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri), bersama Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (kanan). (Gambar bawah) Menteri Pembangunan Singapura, Encik Chee Hong Tat (kiri), bersama Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling (kanan).
(Gambar atas) Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri), bersama Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (kanan). (Gambar bawah) Menteri Pembangunan Singapura, Encik Chee Hong Tat (kiri), bersama Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling (kanan). - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Kerajaan Johor menyifatkan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) kali ke-17 sebagai satu lagi langkah penting untuk memacu kerjasama rentas sempadan melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau berkesempatan menghadiri mesyuarat yang diadakan di Kuala Lumpur itu, yang turut membincangkan peralihan JMCIM kepada Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) sebagai agenda utama.

Menurut beliau peralihan tersebut akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan inisiatif strategik di bawah JS-SEZ. Ia dijangka mewujudkan kerangka kerjasama ekonomi dua hala yang lebih terancang, cekap dan berimpak tinggi antara Johor dan Singapura.

“Mesyuarat turut meneliti pelbagai pandangan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan untuk memuktamadkan hala tuju. JS-SEZ, meliputi aspek tadbir urus, struktur kumpulan kerja, potensi pelaburan serta penambahbaikan pergerakan manusia dan barangan antara Malaysia dan Singapura.

“Semua ini penting untuk memastikan manfaat JS-SEZ dapat dinikmati secara menyeluruh oleh kedua-dua negara khususnya rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 November.

Datuk Onn Hafiz menambah, beliau turut menghadiri sesi minum petang bersama delegasi Johor, Malaysia dan Singapura. Sesi santai ini dilihatnya sebagai ruang untuk mengukuhkan persefahaman, membina keyakinan bersama serta menyelaras pelaksanaan agenda strategik Malaysia–Singapura dalam suasana lebih mesra dan terbuka.

“Semoga segala cadangan dan hasil perbincangan yang dibawa di JMCIM terus memperkukuh hubungan dua hala, meningkatkan daya saing ekonomi negeri dan membawa limpahan manfaat kepada rakyat Johor melalui pelaksanaan JS-SEZ,” katanya.

Turut hadir pada sesi berkenaan ialah Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, serta Menteri Pembangunan Singapura, Encik Chee Hong Tat, Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad bersama delegasi republik ini.

Dalam perkembangan berasingan, Datuk Onn Hafiz memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran Hujan Berterusan (Waspada) bagi daerah Segamat dan Tangkak dari 28 hingga 29 November 2025.

Amaran dikeluarkan susulan jangkaan Sistem Cuaca Bertekanan Rendah yang kini berada di Selat Melaka dan dijangka bergerak ke timur merentasi Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang, yang turut memberi potensi hujan berterusan di kawasan utara Johor.

Beliau berkata Kerajaan Johor bersama semua agensi keselamatan dan pengurusan bencana berada dalam keadaan bersiapsiaga. Ini termasuk pemantauan paras air sungai, keperluan logistik dan penyelarasan tindakan di kawasan berisiko bagi memastikan bantuan dapat digerakkan segera sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.

“Saya menyeru seluruh Bangsa Johor untuk sentiasa peka dengan perkembangan cuaca semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai atau kerap terjejas ketika musim hujan.

“Semoga Allah swt mempermudahkan segala urusan kita dan melindungi negeri Johor daripada sebarang bencana,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg