Hubungan dua hala Johor dan Singapura terus diperkukuh menerusi kunjungan rasmi Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, ke kediaman rasmi Menteri Besar Johor, di Saujana Johor Bahru, pada 27 Oktober.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pertemuan itu menandakan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama strategik di bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang disifatkan sebagai pemangkin utama ke arah pertumbuhan ekonomi serantau.
“Pertemuan ini mengukuhkan hubungan erat antara Johor dengan Singapura, khususnya melalui kerangka kerjasama di bawah JS-SEZ.
“Johor dan Singapura mempunyai kelebihan kompetitif yang saling melengkapi, dan penyelarasan dua kekuatan ini akan mewujudkan keupayaan ekonomi yang lebih strategik serta berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 Oktober.
Menurutnya, JS-SEZ bakal mempercepat kelulusan pelaburan, mengurangkan halangan perdagangan serta memperluas akses pasaran sejagat, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi buat rakyat Johor dan Singapura.
“Kerajaan Johor menghargai keterbukaan Singapura dalam memperkukuh kerjasama rentas sempadan demi manfaat bersama.
“Kejayaan ekonomi bukanlah persaingan, tetapi perkongsian strategik yang membawa impak kepada seluruh wilayah,” tambahnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, yang turut hadir mengiringi Menteri Besar, berkata pertemuan tersebut melambangkan kesinambungan hubungan erat antara kedua-dua pihak dalam aspek pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Johor sentiasa terbuka meneroka peluang baru bersama rakan serantau kita di Singapura bagi memastikan pertumbuhan yang seimbang dan mampan di kedua-dua belah Tambak.
“Kita mahu Johor dan Singapura terus membangun maju bersama sebagai rantau yang dinamik dan berdaya saing,” katanya.
Kunjungan itu turut memperkukuh dialog berterusan antara kedua-dua pihak dalam usaha mempercepat pelaksanaan JS-SEZ, yang dijangka menjadi model kerjasama ekonomi rentas sempadan paling progresif di rantau ini.
Dalam perkembangan lain, Datuk Onn Hafiz turut berkongsi penglibatannya dalam program riadah santai bersama barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor pada 25 Oktober, bermula dari Saujana dan berakhir di Restoran Hua Mui, Johor Bahru.
“Program ini bukan sekadar langkah menjaga kecergasan, tetapi juga usaha mendekatkan diri dengan masyarakat serta memperkukuh hubungan dalam pasukan kepimpinan negeri.
“Ia sebahagian daripada inisiatif Xtif Johor untuk memupuk gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg