Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Onn Hafiz: M’sia, S’pura terus perkukuh kerjasama rentas sempadan

Oct 15, 2025 | 11:37 AM
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri), bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (tengah) dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri), bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (tengah) dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan). - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Malaysia dan Singapura terus memperkukuh kerjasama rentas sempadan melalui penganjuran Forum Pelaburan Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) Kedua, yang berlangsung di Marina Bay Sands, Singapura, pada 14 Oktober, membincangkan hala tuju pelaburan strategik, pembangunan bakat dan transformasi industri hijau di rantau ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang mengetuai delegasi Johor, berkata forum berkenaan memberi peluang kepada pihak kerajaan negeri untuk menegaskan kepentingan memudahcara pelaburan dan memperkukuh pembangunan sumber manusia tempatan agar seiring dengan keperluan industri dalam kawasan JS-SEZ.

“Melalui peranan Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) sebagai pusat sehenti, kita mahu memastikan semua pelaburan dapat dipermudah dengan cekap dan berkesan.

“Pada masa sama, Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) akan memperkukuh pembangunan bakat tempatan agar selari dengan keperluan industri baru yang muncul dalam zon ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 Oktober.

Beliau berkata Johor juga komited memastikan perusahaan kecil dan sederhana (SME) tidak ketinggalan dalam menikmati limpahan ekonomi daripada pembangunan JS-SEZ yang dijangka menjadi hab pertumbuhan serantau berimpak tinggi.

Forum pelaburan tersebut turut menampilkan sesi perbincangan strategik antara pemain industri Malaysia dan Singapura mengenai masa depan rantaian bekalan, transformasi industri hijau serta peluang pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan, logistik dan perkhidmatan canggih.

Dalam majlis sama, Datuk Onn Hafiz turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Southern Catalyst (Socat), Archisen dan CGS International Securities Malaysia.

Kerjasama tersebut disifatkan bakal memperkukuh pembangunan Agropolis moden Johor serta membuka peluang baru dalam pertanian pintar dan ekonomi hijau.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan pelabur dalam dan luar negara untuk melihat sendiri potensi besar yang dimiliki Johor. InsyaAllah, setiap pelaburan yang hadir akan membawa manfaat besar kepada rakyat serta mengukuhkan kemakmuran negeri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, turut mengumumkan langkah baru bagi merancakkan pelaburan dalam JS-SEZ termasuk peruntukan tambahan RM200 juta ($61 juta) di bawah Strategic Co-Investment Fund (CoSIF) dalam Belanjawan 2026.

“Dana ini akan digunakan bagi projek berimpak tinggi oleh SME Malaysia, termasuk di JS-SEZ.

“Selain itu, kita memperkenalkan lesen pembuatan pantas yang boleh diperoleh dalam tempoh tujuh hari bekerja, serta Investor Pass MEV sah selama 12 bulan kepada pelabur asing yang layak.

“Langkah ini bertujuan memastikan urusan perniagaan dapat dipermudah dan pelaburan berimpak tinggi dapat dipercepatkan,” katanya.

Menurutnya, JS-SEZ bukan sekadar zon ekonomi baru tetapi simbol kepada hubungan erat Malaysia–Singapura yang terus berkembang sebagai rakan strategik dalam membina masa depan ekonomi Asean yang lebih dinamik dan berdaya tahan.

“JS-SEZ menjadi bukti bahawa kedua-dua negara mampu bekerjasama membentuk enjin pertumbuhan serantau yang kukuh, berasaskan inovasi, kelestarian dan keterangkuman ekonomi,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg