Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM613 juta ($192 juta), sekali gus menjadi peruntukan tahunan terbesar pernah direkodkan bandar raya itu.
Belanjawan yang diumumkan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad, itu memberi tumpuan kepada peningkatan infrastruktur, penyelesaian isu banjir bandar, pengukuhan ekosistem bandar pintar serta persiapan rapi sempena Tahun Melawat Johor 2026.
Menurut beliau, limpahan ekonomi hasil pembukaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan kemajuan projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura turut dijangka meningkatkan tekanan terhadap infrastruktur bandar.
Justeru, MBJB telah merangka pelan tersusun bagi memastikan keperluan mobiliti, keselamatan dan keselesaan awam seiring pertumbuhan pesat bandar raya.
“Sebanyak RM252.65 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan, termasuk projek tebatan banjir berskala besar, naik taraf jalan, penyelenggaraan sistem saliran, serta pengindahan landskap bandar.
“Kawasan tumpuan seperti Hutan Bandar, Waterfront Danga Bay, Teluk Danga, Stulang Laut dan pusat bandar akan melalui kerja penambahbaikan menyeluruh yang melibatkan pembinaan dataran, laluan pejalan kaki lebih selamat, pencahayaan baru dan ruang rekreasi keluarga,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB pada 1 Disember.
Tambahnya, tanggungjawab sebuah bandar raya tidak hanya tertumpu pada pembangunan fizikal, tetapi merangkumi urus tadbir, kesejahteraan masyarakat dan daya saing Johor Bahru sebagai pintu gerbang utama negara.
“MBJB kini berada pada Tahap 3 Leading Smart City dan Datuk Bandar memaklumkan bahawa usaha sedang dilaksana bagi memperkukuh sistem e-aduan, perkhidmatan atas talian, serta rangkaian kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI).
Langkah ini bertujuan memantapkan pemantauan keselamatan, kelancaran trafik dan keberkesanan operasi penyelenggaraan bandar,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan pusat aduan bersepadu akan digerakkan bersandarkan data raya, sekali gus membolehkan setiap laporan awam direkod, dikesan dan ditangani secara lebih cepat dan telus tanpa operasi silo yang melambatkan tindakan lapangan.
“Dalam aspek kebajikan rakyat, MBJB memperuntukkan RM5.9 juta bagi pelbagai bantuan masyarakat termasuk sokongan kepada kumpulan rentan, program orang muda, inisiatif pendidikan, program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pengukuhan peranan pertubuhan sosial bandar raya.
“MBJB juga memberi fokus kepada pengurusan bandar raya yang cekap dan mampan, terutama melibatkan kebersihan, pelupusan sisa pepejal, penyelenggaraan lampu jalan dan keperluan asas kawasan perumahan,” ujarnya.
Dalam menyentuh prestasi semasa bandar raya, beliau menyatakan bahawa peningkatan hasil MBJB adalah bukti kepercayaan pelabur dan keyakinan rakyat terhadap hala tuju baru Johor Bahru.
Dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, kemunculan pusat teknologi baru serta kedudukan Johor Bahru sebagai nadi pembangunan wilayah selatan, beliau yakin setiap pelaburan yang dibuat hari ini akan memberi pulangan jangka panjang kepada seluruh Bangsa Johor.
“Johor Bahru sedang berada di ambang perubahan besar.
“Tanggungjawab kita ialah memastikan perubahan ini berpihak kepada rakyat, selamat, tersusun, sejahtera dan memberi masa depan lebih cerah buat generasi akan datang,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg