JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntuk sebanyak RM30 juta ($9.12 juta) bagi kerja mencantikkan dan naik taraf kawasan pusat bandar sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Johor 2026.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad, berkata pelaksanaan inisiatif itu melibatkan penambahbaikan landskap, pencahayaan dan sistem jalan raya agar selaras dengan hasrat menjadikan bandar raya itu sebagai sebuah bandar yang mesra pejalan kaki, berdaya huni dan lebih bertenaga.
“Pembugaran (penyegaran) imej pusat bandar MBJB ini memberi penekanan kepada keharmonian reka bentuk moden yang seragam, dengan sentuhan elemen tradisional yang menjadi identiti negeri dan Bangsa Johor secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Kosmo!.
Sebanyak lapan kawasan pembangunan utama dikenal pasti untuk dinaik taraf.
Ia meliputi Monumen Sultan Abu Bakar; Linear Dato’ Onn berhadapan bangunan MBJB lama; kawasan segi tiga Bukit Timbalan; Laman Tun Sri Lanang; Persiaran Abu Bakar Sultan dan Jalan Ibrahim; Jalan Bukit Timbalan; Jalan Syed Mufti; kawasan segi tiga Jalan Ungku Puan; dan kerja pencahayaan di sekitar pusat bandar.
Datuk Mohd Haffiz berkata kesemua perancangan itu dirangka berdasarkan Rancangan Tempatan MBJB dan bertujuan mengangkat wajah bandar raya Johor Bahru ke tahap yang lebih mampan, terangkum dan menarik bagi pelancong serta penduduk tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya menghargai usaha yang telah dilakukan dengan tidak merosakkan harta benda awam, menconteng dan membuang sampah sembarangan.
“Lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Johor 2026, kita tidak mahu pelancong yang datang ke Johor Bahru disambut dengan pemandangan yang tidak enak akibat perbuatan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Selain itu, MBJB juga akan melaksanakan kerja mengecat semula bangunan di sekitar pusat bandar yang dibahagikan kepada empat zon utama, iaitu sekitar Bandar Baru Uda, kawasan Tasek, Kawasan Pusat Perniagaan (CBD), serta kawasan Susur Tun Razak.
Keutamaan akan diberikan kepada bangunan yang dikenal pasti usang dan kotor untuk memperbaiki keadaan fasad bangunan di kawasan terbabit.
“MBJB juga menggalakkan pemilik bangunan untuk turut sama menyertai inisiatif ini dengan mengecat bangunan masing-masing agar kelihatan lebih kemas dan bersih,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg