Peluasan perkhidmatan BAS.MY Johor Bahru disasarkan mencapai 14.9 juta penumpang setahun, dengan penambahan 230 bas baharu bagi memperkukuh pengangkutan awam menjelang operasi Sistem Transit Rapid (RTS) Link pada Februari 2027.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook, berkata kekerapan laluan utama disasarkan antara 15 dengan 20 minit, berbanding 30 minit sebelum ini.

Usaha itu bertujuan memastikan penumpang RTS Link mempunyai pilihan pengangkutan untuk meneruskan perjalanan, selain mengurangkan kebergantungan pada kenderaan persendirian dan kesesakan di Johor Bahru.

“Matlamat kita mudah.

“Apabila penumpang turun dari stesen RTS, mereka mesti mempunyai pilihan pengangkutan awam yang mudah, cepat, selesa dan boleh dipercayai untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis perasmian peluasan BAS.MY Johor Bahru di JB Sentral pada 8 Oktober.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook (tengah), bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian peluasan BAS.MY Johor Bahru di JB Sentral pada 8 Oktober.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook (tengah), bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian peluasan BAS.MY Johor Bahru di JB Sentral pada 8 Oktober. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurutnya, penggunaan perkhidmatan itu meningkat daripada sekitar 450,000 perjalanan penumpang pada Disember 2022 kepada 1.06 juta pada Disember 2025, sebelum mencapai paras tertinggi 1.28 juta pada Januari 2026.

Encik Loke berkata pelanjutan kontrak selama lima tahun di bawah Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) 2.0 akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Selain penambahan bas, syarat kontrak meliputi perkhidmatan ulang-alik dan pembangunan Jalan Jim Quee sebagai hab bas bersama kerajaan negeri.

Nilai kontrak belum didedahkan kerana rundingan belum dimuktamadkan.

Hab berkenaan akan mempunyai 20 petak bas yang disusun bagi memudahkan penumpang naik dan turun dengan selamat, dan disasarkan siap menjelang operasi RTS Link.

Jalan Jim Quee akan dibangunkan sebagai hab bas yang akan mempunyai 20 petak bas yang baru, tambahan kepada 11 petak bas yang sedia ada.
Jalan Jim Quee akan dibangunkan sebagai hab bas yang akan mempunyai 20 petak bas yang baru, tambahan kepada 11 petak bas yang sedia ada. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Laluan pejalan kaki, jejantas dan tangga bergerak akan menghubungkan kawasan itu terus dengan Stesen RTS Bukit Chagar.

Bagi langkah jangka sederhana, beliau berkata inisiatif RM60 juta ($18 juta) diluluskan untuk membina jejantas dan platform baharu bagi memendekkan perjalanan penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menuju RTS Link.

Projek yang dijangka mengambil masa kira-kira setahun itu membolehkan penumpang bergerak terus dari platform ke jejantas, tanpa perlu keluar melalui laluan sedia ada di JB Sentral.

Sementara itu, Encik Loke berkata peralihan sasaran operasi RTS Link daripada Januari kepada Februari 2027 memberikan ruang masa tambahan bagi memastikan penilaian keselamatan, pengujian akhir dan kelulusan teknikal dapat diselesaikan sebelum perkhidmatan dibuka kepada penumpang.

Encik Loke menepis kebimbangan mengenai kelewatan lanjut dan menyatakan dengan yakin bahawa perkhidmatan itu dapat dimulakan pada Februari.

Bagi kerja pembinaan fizikal stesen berkenaan, ia telah pun selesai, manakala bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) juga sudah siap dibina.

Namun, Malaysia dan Singapura bersetuju menyediakan tempoh tambahan supaya semua sistem dapat diuji dengan teliti tanpa tergesa-gesa.

“Sebenarnya kita boleh mempercepatkannya seawal Januari, tetapi kita mahu ada sedikit ruang masa tambahan untuk memastikan semua proses berjalan dengan baik,” katanya.

Tarikh tepat operasi hanya akan diumumkan selepas kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura diperoleh.

Beliau berkata sasaran pembukaan pada Februari merupakan keputusan bersama Malaysia dan Singapura untuk memastikan persediaan mencukupi.

Ditanya mengenai peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan, Encik Loke menegaskan perkara itu tidak akan menjejas jadual pelaksanaan RTS Link kerana kerja diteruskan oleh kontraktor, pasukan projek dan pengendali.

“Perkara ini tidak ada kena-mengena dengan isu peletakan jawatan saya, kerja-kerja tetap berjalan seperti biasa.

“Bagi projek RTS Link, segala tugasan diuruskan oleh kontraktor dan pasukan bertugas,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa peranan kementerian melibatkan keputusan dasar, manakala pelaksanaan projek tetap berjalan mengikut perancangan.

Encik Loke turut mengesahkan perkhidmatan Shuttle Tebrau akan ditamatkan enam bulan selepas RTS Link mula beroperasi, selaras dengan perjanjian antara Malaysia dengan Singapura.