Bermula 1 Oktober 2025, rakyat di sekitar Johor Bahru bakal menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan selesa menerusi pelaksanaan kontrak Bas Berhenti-Henti (SBST) 1.5 dengan penambahan bilangan bas, laluan serta perjalanan harian yang signifikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata langkah bernilai RM134.9 juta ($41.3 juta) yang meliputi tempoh dua tahun (31 Mac 2025 hingga 30 Mac 2027) itu merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh sistem pengangkutan awam demi keselesaan rakyat.
“Alhamdulillah, rakyat Johor Bahru bakal menikmati kemudahan pengangkutan awam yang jauh lebih baik. Bayangkan masa menunggu yang lebih singkat dan perjalanan lebih selesa,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 Oktober.
Menurut beliau, melalui pelaksanaan kontrak SBST 1.5 ini, sebanyak 34 bas baru akan ditambah menjadikan jumlah keseluruhan 162 bas yang beroperasi di bawah sistem SBST Johor Bahru.
Selain itu, jumlah laluan perkhidmatan meningkat daripada 18 kepada 21 laluan, manakala perjalanan harian ke dan dari Johor Bahru Sentral (JBS) akan bertambah hampir dua kali ganda, daripada 408 kepada 674 perjalanan sehari.
“Dengan peningkatan ini, kita menjangkakan lebih 43,000 penumpang sehari dapat bergerak dengan lebih lancar. Ini bukan sekadar angka pada kertas, ia bermakna kurang tekanan, kurang kesesakan, dan lebih banyak masa buat keluarga di rumah,” katanya.
Encik Mohamad Fazli berkata peningkatan kapasiti perkhidmatan itu turut memberi kesan langsung kepada sektor ekonomi, pelancongan dan kesejahteraan sosial kerana sistem pengangkutan awam yang berkesan menjadi nadi kepada pertumbuhan bandar.
“Objektif kita jelas, rakyat Johor mesti dapat bergerak dengan mudah, cepat dan selesa setiap hari. Ini sebahagian daripada janji kita untuk menjadikan Johor sebagai negeri yang maju dan sejahtera,” ujarnya.
Beliau menyeru orang ramai supaya memanfaatkan kemudahan baru ini dengan sebaiknya dan menjadikannya sebahagian daripada gaya hidup harian, selaras dengan usaha kerajaan Johor memperkukuh infrastruktur moden yang berpaksikan rakyat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg