Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor bincang selaras permit serta lokasi penghentian teksi, PHV rentas sempadan

Tiada permit rasmi dikeluarkan kededua negara untuk benarkan kenderaan sewa persendirian ambil, hantar penumpang rentas sempadan
Oct 9, 2025 | 3:38 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh. - Foto PEJABAT PENGERUSI JAWATANKUASA KERJA RAYA, PENGANGKUTAN, INFRASTRUKTUR DAN KOMUNIKASI JOHOR

Isu lambakan kenderaan sewa persendirian (PHV) yang didakwa beroperasi secara haram di Johor dan Singapura mendapat perhatian serius kerajaan Johor, dengan rundingan kini dijalankan bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata buat masa ini tiada permit rasmi dikeluarkan oleh kedua-dua negara untuk membenarkan kenderaan sewa persendirian mengambil atau menghantar penumpang merentasi sempadan.

“Isu ini sebenarnya bukan baru. Dari dulu lagi tiada permit dikeluarkan sama ada oleh Malaysia mahupun Singapura untuk kenderaan PHV mengangkut penumpang antara dua negara.

“Bagaimanapun, selepas tindakan penguatkuasaan baru-baru ini diambil oleh Singapura, perkara ini menjadi tumpuan dan menimbulkan persepsi seolah-olah ia isu baru, sedangkan situasi ini sudah lama wujud,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) di Kota Iskandar pada 9 Oktober.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan sesi perbincangan bersama wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), Tourism Johor, dan Persatuan Sewa Persendirian Johor Selatan (SPHVA).

Menurutnya, persatuan tersebut, yang mewakili lebih 300 ahli dengan lebih 1,000 kenderaan, telah membangkitkan kekeliruan berhubung status permit, khususnya bagi kenderaan mewah dan van pelancongan yang beroperasi di antara Johor dan Singapura.

“Memang wujud kekeliruan dari segi klasifikasi kenderaan sama ada ia dikategorikan sebagai van atau bas persiaran. Ini melibatkan permit masuk dan klasifikasi di bawah JPJ serta Apad.

“Di peringkat teknikal, kita sedang berbincang untuk menyelaras klasifikasi ini supaya tidak timbul kekeliruan antara kedua-dua negara,” jelasnya.

Encik Mohamad Fazli berkata langkah penyelarasan permit ini turut melibatkan cadangan penambahan bilangan kuota teksi dan e-hailing rentas sempadan serta lokasi penghentian baru di kedua-dua negara.

“Antara cadangan yang dibincangkan ialah menambah bilangan kawasan penghentian teksi dan e-hailing (kenderaan sewa persendirian) selain di Larkin Sentral dan Queen Street.

“Kita juga sedang meneliti kemungkinan membenarkan lebih banyak jenis kenderaan, termasuk kenderaan mewah dan pelancongan, untuk menggunakan kemudahan rentas sempadan secara sah.

“Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat rundingan teknikal antara Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) Malaysia dan MOT Singapura,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pada masa ini, hanya teksi berlesen rentas sempadan dibenarkan beroperasi dengan satu titik penghentian sah di setiap negara – teksi Malaysia hanya dibenarkan menurunkan penumpang di Terminal Queen Street, Singapura, manakala teksi Singapura hanya boleh menurunkan penumpang di Larkin Sentral, Johor Bahru.

“Teksi Malaysia boleh mengambil penumpang di mana-mana lokasi dalam negara tetapi hanya boleh menurunkan di Queen Street, manakala teksi Singapura boleh mengambil di mana-mana di Singapura tetapi hanya menurunkan di Larkin. Itu peraturan semasa yang masih terpakai,” katanya.

Beliau turut menjelaskan isu permit PHV tidak berkaitan dengan sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) atau Autopass, kerana kedua-duanya hanya membenarkan kemasukan kenderaan persendirian ke Malaysia atau Singapura, bukan untuk menjalankan sebarang aktiviti komersial.

“Kenderaan PHV dari Singapura memang boleh masuk ke Malaysia untuk tujuan peribadi seperti melancong atau menghadiri urusan tertentu, tetapi tidak dibenarkan mengambil atau menghantar penumpang di sini secara komersial,” tambahnya.

“Begitu juga kenderaan Malaysia di Singapura, mereka boleh masuk, tetapi tidak boleh menjalankan perkhidmatan sewa atau upah.”

Sementara itu, Pengerusi SPHVA, Encik Muhammed Ashraff Kamal Batcha, berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan Johor kerana telah sudi mengadakan perbincangan dengan persatuan.

“Salah satu perkara yang kita dan juga persatuan sewa persendirian dari Singapura minta adalah kebenaran untuk menjalankan perkhidmatan di kedua-dua negara ini secara sah agar masalah ini tidak terus berlarutan,” tambahnya.

“Isu ini sebenarnya bukan baru. Dari dulu lagi tiada permit dikeluarkan sama ada oleh Malaysia mahupun Singapura untuk kenderaan PHV mengangkut penumpang antara dua negara. Bagaimanapun, selepas tindakan penguatkuasaan baru-baru ini diambil oleh Singapura, perkara ini menjadi tumpuan dan menimbulkan persepsi seolah-olah ia isu baru, sedangkan situasi ini sudah lama wujud.”
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg