KUALA LUMPUR: Ujian percubaan sistem kod Respons Pantas (QR) bagi pemeriksaan imigresen di laluan motosikal dan pejalan kaki di dua pintu masuk ke Singapura akan bermula pada 15 Oktober.
Inisiatif di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) itu melibatkan penggunaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) menerusi aplikasi mudah alih MyNIISe.
Ia susulan kejayaan pelaksanaan fasa pertama penggunaan MyNIISe yang bermula pada 22 September di laluan kenderaan di kedua-dua pintu masuk berkenaan.
Kementerian Dalam Negeri menggalakkan penunggang motosikal dan pejalan kaki memuat turun aplikasi MyNIISe bagi menjana kod QR peribadi untuk digunakan di laluan yang ditetapkan sepanjang tempoh percubaan ini.
“Dalam fasa percubaan ini, sistem sedia ada, iaitu MyBorderPass dan kod QR, masih beroperasi.
“Namun orang ramai, termasuk pelawat asing, digalakkan beralih menggunakan MyNIISe apabila melalui pintu masuk yang telah mengaktifkan sistem baru ini,” menurut kenyataan kementerian itu pada 14 Oktober.
Maklumat lanjut mengenai cara penggunaan aplikasi berkenaan boleh diperoleh melalui aplikasi MyNIISe sendiri serta saluran media sosial rasmi berkaitan.
Aplikasi itu boleh dimuat turun menerusi Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery, lapor The Star.
Kementerian turut mengingatkan semua pelawat bahawa dokumen perjalanan atau pasport yang sah masih diperlukan untuk pemeriksaan imigresen selaras dengan Akta Imigresen 1959/63.
“Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen, mengurangkan kesesakan serta memperkukuh kawalan sempadan melalui teknologi digital yang lebih cekap dan mesra pengguna,” jelas kenyataan itu lagi.
Kementerian yakin pelaksanaan sistem berkenaan akan menjadi penanda aras baru dalam pendigitalan perkhidmatan imigresen negara, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan sistem kawalan sempadan yang lebih moden, cekap dan berpusat kepada rakyat.
Terdahulu pada 9 Oktober, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata sistem MyNIISe turut diperluaskan kepada laluan motosikal bermula 15 Oktober di BSI dan KSAB.
Di BSI, sebanyak tujuh unit laluan keluar (B1–B7) disediakan khusus untuk pengguna motosikal MyNIISe.
Sementara itu, di KSAB terdapat lapan unit laluan motosikal membabitkan empat unit laluan masuk (B21–B24) yang dilengkapi sistem pengimbas kod QR.
Menurut Encik Mohamad Fazli, peluasan ini membolehkan pengguna motosikal menikmati urusan imigresen yang lebih cepat dan mudah dengan pilihan dua sistem yang memiliki fungsi sama dan pantas, iaitu MyNIISe dan MyBorderPass.
“Transformasi digital ini dilaksanakan bagi memastikan proses rentas sempadan lebih cekap, selamat dan mesra pengguna,” katanya.
Sebelum ini media Malaysia melaporkan, menerusi MyNIISe yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), semua perkhidmatan Imigresen akan dirangkumkan di bawah satu sistem dan melalui penggunaan AI.
Dengan itu, ia akan lebih meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan Imigresen terutama di pintu masuk Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg