KUALA LUMPUR: Kajian ekologi dan jejambat hidupan liar perlu dibangunkan segera di kawasan hutan hujan tropika Belum-Temenggor di Perak, berikutan habitat hidupan liar terutama gajah yang semakin terganggu dan kerap memasuki kawasan manusia.
Langkah itu wajar disegerakan memandangkan peningkatan kenderaan di kawasan berkenaan semakin tinggi dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Perkembangan itu dilihat bukan sahaja mengganggu habitat, malah tabiat semula jadi mamalia itu.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Ahmad Ismail, berkata kes terbaru membabitkan anak gajah dirempuh di laluan berkenaan menunjukkan wujud konflik antara hidupan liar dengan manusia di kawasan itu.
Katanya, hutan Belum-Temenggor menjadi hutan penting sebagai habitat gajah, namun lebuh raya menghubungkan timur dan barat turut dikesan menghalang laluan gajah yang berkeliaran di kawasan berkenaan.
“Sejak dahulu lagi, pengguna jalan raya mengesan kemunculan gajah. sama ada di bahu jalan atau melintas lebuh raya itu.
“Ini membuktikan mereka sudah terbiasa dengan kenderaan, khususnya apabila pertambahan hidupan berkenaan.
“Justeru, haiwan ini turut terbiasa melintas khususnya pada waktu malam.
“Walaupun kemalangan jalan raya membabitkan gajah tidak sekerap kejadian hidupan lain, perhatian serius perlu diberi kerana populasi gajah dikesan berkurangan dan terancam,” katanya pada 12 Mei.
Pada 11 Mei, penduduk negara dirundung hiba apabila berita mengenai seekor ibu gajah tidak berganjak beberapa jam selepas anaknya dirempuh dan terperosok di bawah lori di Jalan Raya Timur-Barat, dilaporkan.
Gajah dewasa itu kelihatan berusaha ‘menolak’ lori berkenaan dengan kepalanya untuk menyelamatkan anaknya.
Profesor Ahmad berkata beberapa kajian ekologi mendalam perlu disegerakan di kawasan itu, khususnya membabitkan pergerakan gajah melintas jalan raya Gerik-Jeli.
Katanya, pihak bertanggungjawab harus mengenal pasti kawasan sensitif dan semasa untuk melihat pergerakan gajah melintas jalan.
“Kajian ini perlu dilakukan kerana kita bukan sahaja tidak mahu kemalangan membabitkan hidupan terancam berulang, malah mencari kaedah penting untuk memastikan habitat gajah terjaga,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kawasan lintasan hidupan liar atau ‘viaduct’ merangkumi kawasan rehat gajah didirikan oleh pihak berkuasa.
Langkah itu, katanya, adalah sebahagian perancangan untuk meningkatkan pengurusan habitat dan kawasan rayau gajah bagi melihat situasi kumpulan gajah, makanan, laluan, tempat rehat dan kesesuaian dengan populasi gajah tempatan.
“Tempat rehat gajah yang sesuai perlu dibangunkan di situ untuk menghalang hidupan ini menggunakan jalan raya,” katanya.
Profesor Ahmad menambah pemantauan menggunakan teknologi cekap dan penguatkuasaan undang-undang antara langkah wajar dilaksanakan, tidak terhad kepada gajah Asia (Elephas maximus) tetapi semua hidupan liar termasuk harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni).
Katanya, kenderaan berat seperti bas dan lori perlu mengikut had laju ditetapkan dengan tindakan pengawasan cekap.
“Di kawasan sensitif, panduan kepada pemandu dari segi had laju, amaran, papan tanda, dan tanda garis di jalan raya perlu dilaksanakan.
“Malah, sekatan jalan raya perlu dilakukan di kawasan Gerik dan Jeli untuk memastikan had laju dipatuhi sepenuhnya.
“Tanda amaran gajah berada di jalan raya atau berhampiran jalan raya perlu didirikan dengan menggunakan sistem dan teknologi pengimbas bersesuaian untuk mengelak kejadian malang sedemikian berulang,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg