JOHOR BAHRU: Penumpang yang menggunakan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, yang dijadual mula beroperasi awal 2027, bakal dapat melepasi pemeriksaan imigresen dalam tempoh beberapa saat.

Pengarah Projek RTS Link, Encik Zulkifli Mohamed, berkata penumpang terlebih dahulu akan melalui alat pengimbas badan sebelum menuju ke pintu elektronik bagi pemeriksaan imigresen di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar.

“Terdapat 100 laluan pintu elektronik di kompleks ICQ yang direka untuk menyokong pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR atau pasport,” katanya dalam taklimat media di bangunan itu pada Isnin (17 Ogos).

Beliau berkata alat pengimbas badan pula mampu mengesan barangan terlarang ketika penumpang melaluinya.

“Sekiranya pengimbas mengesan sesuatu yang mencurigakan, petugas akan mengarahkan penumpang ke kaunter kedua untuk pemeriksaan lanjut supaya aliran penumpang lain tidak terganggu,” katanya lapor The Star.

Selain itu, kompleks ICQ berkenaan turut dilengkapi kemudahan seperti bilik menyusu, surau dan mesin layan diri untuk pembelian tiket.

Encik Zulkifli berkata kompleks tersebut turut menempatkan agensi seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan.

“Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, juga dijangka melawat kompleks ini untuk melihat perkembangan projek RTS Link pada Selasa (18 Ogos),” katanya.

Selain 100 laluan pintu elektronik, Kompleks ICQ Bukit Chagar mempunyai 10 laluan pemeriksaan keselamatan untuk pemeriksaan badan, 18 alat pengimbas bagasi serta laluan khas bagi penumpang tanpa bagasi.

Kemudahan itu bertujuan mengurangkan kesesakan dan memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar.

RTS Link yang dijadual mula beroperasi awal 2027 merupakan perkhidmatan ulang-alik sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.

Apabila mula beroperasi, RTS Link dijangka mengubah corak perjalanan kira-kira 350,000 pengguna yang kini menggunakan Tambak Johor setiap hari, yang merupakan antara lintasan sempadan paling sibuk di dunia.

Sistem itu direka untuk mengendalikan sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan jumlah penumpang harian diunjurkan sekitar 40,000.