KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akan menyediakan dana kewangan bagi membiayai kos pembangunan projek Transit Aliran Automasi Bertingkat (E-ART) di Johor, kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke.

Beliau berkata ketika ini, kaedah pembiayaan terperinci dan jumlah komitmen kewangan sebenar serta mekanisme pembayaran balik dalam tempoh konsesi masih di peringkat rundingan dan sedang dimuktamadkan.

“Pada dasarnya, pembiayaan projek pada peringkat awal akan ditanggung oleh pihak konsortium yang dilantik. Bagaimanapun, hasil penilaian semasa menunjukkan projek infrastruktur berskala mega ini tidak berdaya maju sekiranya bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan pihak swasta.

“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan dana kewangan bagi membiayai kos projek tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, pada 2 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ayer Hitam dari Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berhubung status pelaksanaan projek E-ART Johor.

Beliau bertanya sama ada tanggungan Persekutuan adalah pembiayaan terus atau menerusi model konsesi bersama pihak swasta serta unjuran kesesakan yang dijangka apabila Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) beroperasi pada Januari 2027 sebelum projek eART siap.

Encik Loke berkata terma yang dipersetujui kelak akan diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu, sebelum Perjanjian Konsesi ditandatangani dan projek E-ART dijangka disiapkan dalam tempoh empat tahun dari Surat Setuju Terima dikeluarkan.

Dalam pada itu, Encik Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kerjasama kerajaan negeri Johor merangka pelan penyuaraian trafik untuk pengukuhan sistem pengangkutan awam sedia ada.

Katanya ia termasuk rangkaian perkhidmatan BAS.MY yang akan diperluaskan kepada 28 laluan melibatkan 254 unit bas termasuk bas elektrik.

Beliau berkata menerusi Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) 2.0 itu, sebanyak 157 unit bas dikhususkan untuk laluan Johor Bahru (JB) Sentral dan Bukit Chagar yang dijangka dapat dimulakan pada awal 2027.

“Kementerian juga sedang berusaha untuk membuat perolehan bagi 12 set tren KTM Komuter Selatan.

“Sementara menunggu kelulusan, kementerian telah meluncurkan perkhidmatan Shuttle Selatan Kulai-Kempas-Johor Bahru dan Kempas-Pasir Gudang mulai 16 Jun lalu dengan kapasiti 14 perjalanan sehari,” katanya.