KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Tabung Haji (TH) sedang mencari jalan terbaik untuk membantu sekumpulan jemaah haji Malaysia yang terkandas di Makkah, termasuk pilihan membawa mereka pulang.
Timbalan Menterinya, Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata buat masa ini pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci kes jemaah itu, yang terkandas di Tanah Suci kerana menggunakan visa pelancong untuk menunaikan ibadah haji.
“Buat masa ini kita sedang menyiasat dan setakat ini masih belum dapat mengesahkan jumlah sebenar mereka yang terkandas.
“Bagaimanapun, kita sentiasa berhubung dengan pihak Konsulat Malaysia (di Jeddah, Arab Saudi) kerana ini adalah tanggungjawab bersama untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia di sana,” katanya selepas majlis perasmian Persidangan Wakaf Antarabangsa 2024, lapor The Star pada 14 Mei.
Dr Zulkifli turut menggesa jemaah terlibat agar membuat aduan atau laporan rasmi kepada TH dan Kedutaan Malaysia di Jeddah dengan segera bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Berdasarkan laporan media, kira-kira 300 bakal jemaah haji Malaysia kini terkandas di Makkah berikutan agensi yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi untuk rombongan itu menunaikan haji musim ini.
Beberapa laporan media juga mendakwa jumlah rakyat Malaysia yang terkandas melebihi 300 orang, malah membabitkan ribuan orang.
Bakal haji terbabit menyedari mereka diperdaya selepas mendapati pakej haji murah yang ditawarkan agensi terlibat menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadat haji.
Sebelum ini Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, berkata TH akan bekerjasama dengan Konsulat Malaysia untuk membuat siasatan berdasarkan maklumat terperinci daripada jemaah berkenaan.
“Pihak kami menasihati semua jemaah umrah yang masih berada di Tanah Suci supaya akur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi kerana ibadah umrah akan ditutup pada 15 Mei 2024 bagi persediaan musim haji.
“Peraturan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi dan TH adalah untuk menjaga kebajikan serta keselamatan jemaah haji ketika musim haji,” katanya.
Seramai 31,600 bakal jemaah haji dari Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima itu pada 2024, dengan penerbangan pertama berlepas pada 8 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg