Kegiatan luar seperti acara hiburan mungkin dikenakan “beberapa sekatan” pada hujung minggu Grand Prix (GP) Singapura, jika jerebu yang menyelubungi negara ini bertambah buruk.

Namun acara perlumbaan tidak akan terjejas, menurut badan induk sukan permotoran itu pada 8 Oktober.

Perlumbaan GP Singapura Formula 1 (F1) Singapore Airlines akan berlangsung pada 9 hingga 11 Oktober 2026 di Litar Jalan Raya Marina Bay.

Singapura diselubungi jerebu sejak beberapa minggu lalu, dengan mutu udara di seluruh negara kini pada paras “tidak sihat”, sehari menjelang perlumbaan hujung minggu itu, ketika negara ini turut menjadi tumpuan pemimpin serantau serta tokoh perniagaan dan sukan yang menghadiri pelbagai persidangan.

Walaupun Singapura diselubungi jerebu tebal akibat kebakaran paling buruk di Indonesia dalam lebih sedekad, jerebu dan mutu udara yang merosot dijangka tidak menjejaskan kegiatan di litar atau penganjuran perlumbaan malam F1, menurut jurucakap Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

“Mutu udara sedang dipantau pihak berkuasa tempatan yang berkaitan dan langkah sewajarnya telah disediakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” kata jurucakap itu.

FIA tidak menyatakan tahap mutu udara yang boleh mencetuskan sekatan terhadap acara hiburan dan kegiatan luar lain.

Jurucakap itu berkata FIA mematuhi saranan pihak berkuasa tempatan dan bekerjasama rapat dengan mereka bagi menjaga kesihatan pasukan F1.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Lembaga Pelancongan Singapura tidak segera memberikan respons terhadap permintaan supaya mengulas.

Dalam laporan terkini mengenai jerebu pada petang 7 Oktober, NEA menyatakan:

“Dengan angin yang kini bertiup dari tenggara hingga selatan, asap jerebu dari kawasan terbabit mungkin terus menghala ke Singapura.”

Pada 2019, ketika paras jerebu turut berada dalam kategori “tidak sihat” semasa GP Singapura, penganjur telah menyediakan petugas bantuan kecemasan serta pelitup muka N95 bagi mereka yang memerlukan. – Reuters.