Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

JLand Group, Sumitomo jalin kerjasama strategik sempena Expo Osaka 2025

Sep 16, 2025 | 1:54 PM
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han (tengah), menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif JLand Group, Datuk Akmal Ahmad (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Sumitomo Corporation Malaysia, Encik Satoshi Matsui (dua dari kanan).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han (tengah), menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif JLand Group, Datuk Akmal Ahmad (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Sumitomo Corporation Malaysia, Encik Satoshi Matsui (dua dari kanan). - Foto FACEBOOK LEE TING HAN

Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan serantau apabila JLand Group Sdn Bhd, anak syarikat Johor Corporation (JCorp), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersejarah dengan Sumitomo Corporation, syarikat konglomerat Jepun yang berusia lebih 100 tahun.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif JLand Group, Datuk Akmal Ahmad, dan Pengarah Urusan Sumitomo Corporation Malaysia, Encik Satoshi Matsui.

Ia disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan JCorp, Datuk Syed Mohammad Syed Ibrahim, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sumitomo Corporation Asia, Encik Hirokazu Higashio.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, yang turut menyaksikan majlis itu berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada bidang tenaga boleh diperbaharui, kesihatan dan pembangunan taman perindustrian berimpak tinggi di kawasan Ibrahim Technopolis, Johor.

“Kedua-dua pihak telah menyatakan komitmen untuk memuktamadkan perjanjian muktamad dalam masa terdekat. Kerjasama ini bukan sekadar pelaburan modal, bahkan turut membawa pemindahan teknologi, peningkatan kapasiti bakat tempatan, dan pengukuhan rantaian bekalan.

“Ia bakal membuka peluang pekerjaan baru, memperkayakan ekosistem perniagaan serta memacu pembangunan hijau dan digital yang mampan untuk Johor,” kata beliau dalam satu kenyataan pada 16 September.

Sempena Expo Osaka 2025, Pavilion Malaysia menerima kunjungan ramai tetamu antarabangsa termasuk Senator Jepun merangkap Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Encik Kato Akiyoshi.

Encik Lee berkata pihaknya menggunakan peluang itu bukan sahaja untuk memperkenalkan kekuatan ekonomi Johor, malah membina hubungan lebih mendalam dengan rakan-rakan dari Jepun.

“Johor mempunyai banyak cerita untuk dikongsi; daripada kedudukan strategik sebagai hab pelaburan utama Malaysia, hinggalah aspirasi baru dalam teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan pembangunan mampan.

“Lebih daripada itu, kami ingin menunjukkan Johor sebagai sebuah negeri yang terbuka, mesra pelabur dan komited membina hubungan jangka panjang yang saling menguntungkan,” katanya.

Selain berkunjung ke Pavilion Malaysia, rombongan Johor turut melawat pavilion negara lain yang menawarkan idea dan teknologi baru, daripada penyelesaian tenaga hijau, inovasi bandar pintar hinggalah kreativiti seni budaya.

Menurut Encik Lee, semua pengalaman itu menjadi rujukan berharga untuk memperkayakan pembangunan Johor pada masa hadapan.

“Pertemuan dan pengalaman ini membuka ruang membina keyakinan serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan masyarakat.

“Dengan semangat persahabatan, kami yakin lebih banyak peluang akan terhasil sempena Minggu Johor ini dan selepasnya; peluang yang bukan sahaja memberi manfaat ekonomi, tetapi juga memperdalamkan ikatan budaya dan kemanusiaan antara Johor, Malaysia dan Jepun,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg