Kerajaan Johor optimistik dapat mencapai pendapatan sehingga RM2.5 bilion ($760 juta) menjelang hujung 2025, melebihi unjuran awal sebanyak RM2 bilion.
Peningkatan hampir 20 hingga 25 peratus daripada sasaran asal itu didorong oleh perkembangan ekonomi negeri yang pesat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata tambahan pendapatan itu akan membolehkan kerajaan negeri menyalurkan peruntukan baru secara terus kepada rakyat dalam bentuk inisiatif tambahan, seumpama ‘bajet mini’.
“Apabila kita ada pendapatan yang lebih besar, tumpuan utama ialah kepada kos sara hidup rakyat. Kita mahu pulangkan pendapatan tambahan ini secepat mungkin kepada rakyat supaya manfaat pertumbuhan ekonomi negeri dapat dirasai semua,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Menurut Encik Lee, Bajet 2026 yang akan dibentangkan pada November ini akan terus menumpukan kepada dua teras utama iaitu bantuan kos sara hidup rakyat dan peningkatan daya saing ekonomi Johor.
Antara pendekatan yang akan diberi perhatian termasuk memperkukuh produktiviti melalui Johor Talent Development Council (JTDC) dan pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor sebagai usaha pembangunan modal insan.
Sebagai perbandingan pada 2024, Johor berjaya mengutip pendapatan RM2.1 bilion berbanding unjuran asal RM1.9 bilion. Sehingga September 2024, jumlah pendapatan yang diterima kira-kira RM1.7 bilion hingga RM1.8 bilion, namun angka itu dijangka terus meningkat pada penghujung tahun.
Dalam pada itu, Encik Lee turut memaklumkan bahawa kerajaan Johor bersama Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa berkaitan sedang menyiapkan pelan induk bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pelan induk itu disediakan sebuah firma perunding antarabangsa yang dilantik Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) serta kerajaan negeri.
Menurutnya, sesi libat urus dengan pihak Singapura turut akan diadakan dalam masa terdekat, termasuk mesyuarat peringkat menteri pada Oktober.
“Kita harap pelan induk ini dapat dimuktamadkan hujung tahun ini.
“Ia akan menjadi kerangka jangka panjang yang jelas, memberi gambaran kepada pelabur dan rakyat tentang industri apa yang akan dibangunkan, bagaimana kelompok industri seperti semikonduktor, tenaga hijau, logistik dan pelancongan dapat dipacu, serta hala tuju daya saing Johor pada masa depan,” terangnya.
Encik Lee menegaskan bahawa dengan landasan kukuh ini, Johor bukan sahaja mampu menarik pelaburan baru, bahkan memastikan pertumbuhan ekonomi negeri terus memberi manfaat langsung kepada rakyat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg