Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johari Ghani jalankan tugas, fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam

Jul 11, 2025 | 3:31 PM
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. - Foto FACEBOOK JOHARI ABDUL GHANI

PUTRAJAYA: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, diberi tanggungjawab menjalankan tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Setiausaha Malaysia, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dimaklumkan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Julai.

“Perdana Menteri memaklumkan Jemaah Menteri yang bersidang pada 9 Julai 2025 bahawa beliau bersetuju supaya Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa serta-merta,” katanya menerusi satu kenyataan pada 11 Julai.

Pada 28 Mei, Ahli Parlimen Setiawangsa, Encik Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Datuk Anwar yang berkuat kuasa 4 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.

Ia menyusuli kira-kira tiga jam selepas Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen (AP) Pandan pada hari sama, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun.

Keputusan diambil kedua-dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berikutan kekalahan mereka mempertahan jawatan masing-masing sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti pada Mei.

“Saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden PKR merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.

“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri,” kata Encik Nik Nazmi dalam satu kenyataan pada 28 Mei.

Pada Jun lalu, Kabinet bersetuju Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengambil alih tugas dan fungsi portfolio ekonomi, susulan peletakan jawatan Datuk Rafizi.

Datuk Amir juga diberi tanggungjawab untuk menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg