Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemantau keselamatan jalan terkesan dengar tangisan ibu gajah

Mohd Amir Faizal kongsi di Facebook pengalaman tenangkan haiwan yang ratapi pemergian anak di JRTB Gerik-Jeli
May 13, 2025 | 5:06 PM
Seorang pengguna Facebook, Encik Mohd Amir Faizal (foto sisipan), menerusi perkongsian secara langsung pada pagi 12 Mei, berkata ketika kejadian, beliau sedang membuat rondaan pemantauan keselamatan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dan dapat mendengar dengan jelas tangisan ibu gajah berkenaan.
Seorang pengguna Facebook, Encik Mohd Amir Faizal (foto sisipan), menerusi perkongsian secara langsung pada pagi 12 Mei, berkata ketika kejadian, beliau sedang membuat rondaan pemantauan keselamatan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dan dapat mendengar dengan jelas tangisan ibu gajah berkenaan. - Foto SINAR HARIAN

Walaupun lebih 24 jam telah berlalu, kisah seekor ibu gajah yang setia menunggu anaknya yang mati akibat dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi 11 Mei, terus meruntun hati rakyat Singapura dan Malaysia.

Seorang pengguna Facebook, Encik Mohd Amir Faizal, menerusi perkongsian secara langsung pada pagi 12 Mei, berkata ketika kejadian, beliau sedang membuat rondaan pemantauan keselamatan di JRTB dan dapat mendengar dengan jelas tangisan ibu gajah berkenaan.

“Kalau lihat pada bahagian hadapan lori, memang ada kerosakan. Tapi kerosakan itu berpunca daripada tindakan ibu gajah yang menolak lori tersebut berulang kali kerana cuba menarik keluar anaknya.

“Ibu gajah terus mencuba, berkali-kali, sebab ketika itu anaknya masih hidup. Tapi ia tidak mampu menolak lori itu kerana terlalu berat. Itulah ‘seorang ibu’, tetap berusaha melakukan yang terbaik demi anaknya,” katanya dalam siaran langsung selama kira-kira 45 minit, lapor agensi berita, yang dipetik laman Sinar Harian.

Encik Mohd Amir berkata selepas gajah itu diberikan ubat penenang oleh Jabatan Perhilitan, kaki dan lehernya perlu digari.

Ketika itu, Encik Mohd Amir membantu dengan menutup mata gajah menggunakan kain supaya haiwan itu tidak menyedari apa yang sedang dilakukan terhadapnya.

“Masa saya letakkan tangan menutup mata gajah, saya dapat rasakan kesedihannya. Saya menggosok badannya agar tidak agresif kerana saya dapat merasakan emosi ibu gajah yang sedang meratapi kehilangan anak.

“Saya sendiri tidak dapat menahan air mata melihat detik itu,” katanya dalam nada sebak.

Paling menyayat hati, katanya, adalah apabila ibu gajah itu meletakkan kepalanya ke dinding lori dalam keadaan lemah selepas diberi ubat penenang, seolah-olah meratapi nasib anaknya yang sudah tidak bernyawa.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Encik Yusoff Shariff, mengesahkan video tular pada 12 Mei yang mengatakan ibu gajah itu kembali ke lokasi anaknya dilanggar, bukan video gajah yang sama.

Menurut Encik Yusoff, setakat ini, ibu gajah tersebut telah kembali ke hutan dan dipercayai telah memasuki kumpulannya semula.

“Tentang video tular yang dikongsi, kami percaya ia bukan video memaparkan gajah yang sama, kerana gajah betina jarang keluar secara solo, ia akan keluar berkumpulan.

“Kita memang ada kakitangan yang meronda di sekitar kawasan tersebut. Setakat ini tiada laporan rasmi diterima, namun saya ada lihat di TikTok orang ramai kongsikan kehadiran gajah di kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu Encik Yusoff berkata karkas atau bangkai anak gajah jantan terbabit juga telah ditanam di lokasi yang tidak didedahkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg