JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengambil tindakan tegas terhadap dua pemaju yang dikenal pasti menjadi punca kejadian banjir di beberapa kawasan di Johor Bahru dan Kulai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, mengumumkan Notis Henti Kerja Serta-Merta selama 14 hari dikenakan kepada pemaju terbabit di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Tindakan itu diambil pihak berkuasa tempatan untuk menghentikan segera sebarang kerja pembinaan sehingga langkah pembetulan dan mitigasi dilaksanakan sepenuhnya.

Kerajaan negeri memandang serius kejadian banjir yang berlaku dan mendapati ia berpunca daripada kegagalan pemaju mematuhi keperluan teknikal serta kawalan saliran yang ditetapkan.

“Sebarang pembangunan yang dijalankan mesti mematuhi sepenuhnya syarat teknikal termasuk pengurusan saliran, sistem perparitan, kawalan hakisan serta pelaksanaan langkah mitigasi banjir yang berkesan.

“Kegagalan mematuhi perkara ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 April.

Datuk Mohd Jafni menegaskan kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dalam soal keselamatan rakyat walaupun terus menyokong pembangunan yang mampu merancakkan ekonomi dan menarik pelaburan.

Menurut beliau, pembangunan yang baik perlu seimbang, berdaya tahan dan tidak menjejas kehidupan masyarakat setempat.

Semua pemaju diingatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan dan kelulusan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan tegas diambil, ujar beliau.

“Mana-mana pembangunan yang menyebabkan kejadian banjir kilat akan diberikan Notis Henti Kerja Serta-Merta selama 14 hari sehingga langkah mitigasi dilaksanakan dan dijamin tidak berulang.

“Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan akan terus memperketat pemantauan di lapangan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang lebih tegas termasuk menghentikan projek, mengenakan kompaun atau tindakan lanjut,” katanya.

Beliau turut menyatakan kerajaan negeri komited memastikan setiap pembangunan di Johor dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan selaras dengan agenda Maju Johor yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat.