Johor bakal umum pelaburan lebih besar menerusi JS-SEZ

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor bakal umum pelaburan lebih besar menerusi JS-SEZ

Mar 2, 2026 | 1:33 PM

Johor bakal umum pelaburan lebih besar menerusi JS-SEZ

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Kerajaan Johor bakal mengumumkan satu lagi jumlah pelaburan baru yang lebih besar dalam masa terdekat susulan negeri itu merekodkan pelaburan tertinggi dalam negara bagi tahun 2025.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sehingga September 2025 Johor merekodkan pelaburan sebanyak RM91.1 bilion ($29.6 bilion) dan angka lebih tinggi dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Beliau berkata perkembangan itu hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan Persekutuan serta usaha berterusan menarik pelaburan bermutu tinggi ke negeri itu.

“Kita berada pada landasan betul. Ini baru permulaan dan lebih banyak inisiatif akan dilaksanakan bagi merancakkan lagi ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Mac.

Menurutnya, perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, memberi tumpuan kepada penyelarasan hala tuju Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai kerangka strategik pertumbuhan baru Johor.

Beliau berkata Menteri Ekonomi dijangka mengumumkan pelan induk zon ekonomi khas itu dalam masa terdekat, yang akan merangkumi pelbagai langkah bagi mempercepat kemasukan pelaburan bernilai tinggi serta mengukuhkan penyertaan Johor dalam rantaian bekalan global.

Tambahnya, manfaat terbesar daripada pembangunan itu bukan sekadar angka pelaburan, sebaliknya peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat negeri itu.

“Kepada ibu bapa di Johor, percayalah akan ada peluang pekerjaan untuk anak merealisasikan impian mereka di kampung halaman. Kepada pengusaha tempatan pula, akan ada ruang untuk menyertai rantaian bekalan syarikat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Onn Hafiz menegaskan kejayaan pembangunan Johor hanya boleh dicapai melalui kerjasama semua pihak, selain menyifatkan aspirasi menjadikan Johor Bahru sebagai bandar antarabangsa bukan sesuatu mustahil.

Beliau berkata asas pembangunan kini sedang diperkukuh bagi memastikan setiap perancangan benar-benar diterjemahkan kepada hasil nyata kepada rakyat, selaras aspirasi Maju Johor 2030.

Sementara itu, Encik Lee berkata mesyuarat bulanan JS-SEZ yang diadakan pada 28 Februari meneliti strategi dan hala tuju zon berkenaan dalam memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab pelaburan serantau.

Beliau berkata perbincangan memberi fokus kepada penyelarasan dasar, pemudahcaraan pelaburan serta pengukuhan ekosistem industri berimpak tinggi selaras perkembangan ekonomi global.

Katanya, pendekatan kerjasama antara agensi kerajaan dengan pemain industri penting bagi memastikan pelaksanaan zon ekonomi khas itu berjalan secara mampan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg