Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor beri bantuan khas RM300 kepada 3,800 anggota jemaah haji
Johor beri bantuan khas RM300 kepada 3,800 anggota jemaah haji
Johor beri bantuan khas RM300 kepada 3,800 anggota jemaah haji
JOHOR BAHRU: Setiap anggota jemaah haji dari Johor bagi 2026 akan menerima bantuan khas RM300 ($96) sebagai sebahagian daripada inisiatif sokongan kerajaan negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata lebih 3,800 anggota jemaah haji dari Johor akan menerima bantuan bayaran sekali sahaja di bawah program Bantuan Kasih Johor sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri.
Menurutnya, bantuan tersebut diperkenalkan susulan peningkatan hasil negeri.
“Ini tidak pernah dilakukan sebelum ini dan mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk berkongsi manfaat kemakmuran Johor dengan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pertemuan bersama bakal jemaah haji di Menara MBJB di sini pada 21 April.
Datuk Onn Hafiz berkata bantuan itu terhasil daripada kerjasama antara Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Yayasan Sultan Ibrahim juga akan menyumbangkan pek makanan dan minuman kepada anggota rombongan haji negeri, lapor The Star.
Menurut beliau, Johor telah menghantar rombongan haji tajaan negeri sejak 1952, jauh sebelum penubuhan Tabung Haji pada 1963.
Negeri itu secara tekal memperoleh kuota khas sebanyak 500 anggota jemaah setiap tahun, hasil kerjasama dengan Tabung Haji dan Kerajaan Persekutuan, dengan kos pengangkutan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Datuk Onn Hafiz berkata jemaah dijangka berlepas secara berperingkat antara 7 dengan 9 Mei menerusi empat hingga lima penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Jeddah.
“Kita mesti ingat bahawa daripada berbilion umat Islam di seluruh dunia, hanya sebahagian kecil dipilih setiap tahun untuk menunaikan haji.
“Di Malaysia juga, ramai yang perlu menunggu berpuluh tahun untuk mendapat giliran, jadi mereka yang terpilih perlu bersyukur atas nikmat ini,” katanya.
Beliau berkata peningkatan pelaburan, hasil negeri yang kukuh dan kutipan zakat yang bertambah memungkinkan kerajaan negeri memperkenalkan lebih banyak program bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Pembangunan Johor tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan prasarana semata-mata, sebaliknya turut melibatkan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memartabatkan nilai Islam, tambah beliau.
