JOHOR BAHRU: Seramai 10,000 penduduk Johor bakal menerima bantuan RM1,000 ($315) setiap seorang bagi membayar deposit sewaan rumah menerusi skim baru yang akan dilaksanakan mulai 2027.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Skim Bantuan Deposit Sewa Rumah itu mempunyai peruntukan keseluruhan sebanyak RM35 juta.

Beliau mengumumkan skim tersebut ketika menghadiri Majlis Penyerahan Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 5, yang memberi manfaat kepada 6,000 penerima menerusi peruntukan RM22.2 juta.

Bantuan yang diberikan di bawah fasa itu merangkumi Bantuan Beli Rumah, Bantuan Masuk Rumah dan Bantuan Sewa Rumah.

“Kerajaan negeri akan terus berusaha memperluas akses kepada perumahan yang mampu dimiliki demi kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan pada 19 Ogos.

Menurut Datuk Onn Hafiz, sebanyak RM59.8 juta telah diperuntukkan sepanjang lima fasa pelaksanaan PKJ, dengan 15,126 penerima mendapat manfaat.

Daripada jumlah itu, seramai 9,569 orang menerima Bantuan Beli Rumah, 3,524 orang memperoleh Bantuan Masuk Rumah dan 2,033 orang mendapat Bantuan Sewa Rumah.

“Semoga agenda perumahan Johor terus diperkasa supaya lebih ramai Bangsa Johor mempunyai tempat berteduh yang selesa dan terjamin,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor, pihak berkuasa tempatan, pemaju serta agensi yang menjayakan usaha itu.

Dalam perkembangan lain, Datuk Onn Hafiz berkata kerja membaik pulih dan menaik taraf Kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) Parit Perupok di Muar dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027.

Projek bernilai RM5 juta itu melibatkan Blok G3, G4, G5 dan G10 serta memberi manfaat kepada 64 penghuni kuarters.

Kerja di Blok G5 kini mencapai kemajuan 63 peratus, manakala pembaikan bumbung dan struktur telah siap sepenuhnya.

Skop lain melibatkan sistem perpaipan, pendawaian elektrik, tandas, kemasan dalaman dan kerja luaran.

“Keselesaan dan kebajikan anggota PDRM serta keluarga mereka perlu sentiasa diberikan perhatian sebagai penghargaan kepada mereka yang terus berkhidmat dan berkorban demi menjaga keamanan serta keselamatan bangsa Johor,” katanya.