Topic followed successfully
Go to BHkuOnn Hafiz : Perluasan lebuhraya Pasir Gudang hampir siap
Onn Hafiz : Perluasan lebuhraya Pasir Gudang hampir siap
Teknologi pintar jamin aliran trafik lancar, tempoh perjalanan waktu puncak semakin singkat
Onn Hafiz : Perluasan lebuhraya Pasir Gudang hampir siap
JOHOR BAHRU: Projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) daripada empat kepada enam lorong kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 83 peratus dengan sebahagian laluan sepanjang 6.4 kilometer sudah dibuka kepada pengguna jalan raya.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata projek sepanjang 10 kilometer dari Persimpangan Bandar Seri Alam-Taman Rinting hingga Pasir Gudang itu menjadi antara usaha utama kerajaan negeri bagi menangani masalah kesesakan trafik yang sekian lama membelenggu pengguna.
Menurut beliau, baki 3.6 kilometer laluan utama dijangka dibuka sepenuhnya menjelang Ogos 2026 manakala kerja akhir termasuk kemasan dan penyelarasan prasarana lain akan diteruskan sehingga November 2026.
“Saya telah turun padang bagi meninjau sendiri perkembangan projek ini yang merupakan antara usaha penting bagi mengurangkan kesesakan trafik yang sekian lama menjadi rungutan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 Mei.
Beliau turut meninjau implementasi sistem Lampu Isyarat Pintar (Smart Traffic Light) di Persimpangan Taman Kota Puteri dan Taman Teluk Tropikana, Lebuhraya Permas-Pasir Gudang
Inisiatif pintar ini bertujuan mengoptimumkan aliran trafik, terutamanya pada waktu puncak, demi pergerakan kenderaan yang lebih lancar dan selamat
Datuk Onn Hafiz juga berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh jaringan jalan raya, mengurangkan kesesakan trafik serta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan di Johor demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata hasil pelaksanaan awal sistem berkenaan menunjukkan perkembangan positif.
Jelasnya, panjang kesesakan dari arah Johor Bahru berjaya dikurangkan daripada 3.09 kilometer kepada 2.0 kilometer manakala tempoh perjalanan menurun daripada 23 minit kepada hanya 12 minit.
“Bagi laluan dari arah Pasir Gudang pula, kesesakan berjaya dikurangkan daripada 0.85 kilometer kepada 0.65 kilometer dan tempoh perjalanan menurun daripada sembilan minit kepada enam minit.
“Ini membuktikan pendekatan berasaskan data dan pemantauan lapangan yang digerakkan kerajaan negeri mampu memberi impak terus kepada kehidupan harian rakyat,” katanya.
Datuk Mohd Jafni menambah, teknologi virtual loop camera digunakan untuk pengumpulan data trafik yang tepat, selaras dengan visi Johor sebagai Negeri Bijak (Smart State) yang memanfaatkan teknologi untuk menyelesaikan isu rakyat secara cekap dan berkesan.
Kerajaan negeri, melalui Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Southmax, akan meneruskan pemantauan intensif selama tiga bulan bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya.
“Kerajaan negeri tidak mahu sekadar mendengar aduan di atas meja, tetapi mahu turun sendiri melihat, memahami dan menyelesaikan masalah rakyat di lapangan,” katanya.
