Kenderaan persendirian dari Singapura yang menawarkan khidmat pengangkutan secara haram di Johor kian berleluasa dengan sebahagian pemandu menawarkan khidmat pengangkutan ke destinasi lebih jauh seperti Melaka, Kuala Lumpur dan Genting Highlands, kata Persatuan Sewa Persendirian Johor Selatan (SPHVA).
Pengerusi SPHVA, Encik Muhammed Ashraff Kamal Batcha berkata antara lokasi yang menjadi tempat pemandu dari Singapura mendapatkan penumpang ialah di Hotel KSL Johor Bahru, Aeon Tebrau dan Legoland Malaysia.
Difahami, penumpang tersebut kebanyakannya warga Singapura walaupun ada warga Malaysia yang menggunakan khidmat pengangkutan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dengan bayaran antara $250 hingga $300 bagi setiap perjalanan.
“Mereka (Pemandu kenderaan persendirian dari Singapura) mendakwa ini adalah ‘kelebihan’ yang mereka tawarkan kepada pelanggan, sedangkan hakikatnya operasi ini dijalankan tanpa lesen dan tanpa perlindungan undang-undang kepada pengguna,” kata Encik Ashraff.
Beliau berkata keadaan itu tercetus susulan tindakan pihak berkuasa Singapura menahan dan menyita kenderaan persendirian Malaysia yang melanggar undang-undang di Singapura dengan menyediakan khidmat kenderaan rentas sempadan dari Singapura ke Malaysia.
Buat masa ini, hanya teksi dari kededua negara dibenarkan menyediakan khidmat penumpang rentas sempadan, dengan lokasi mengambil dan menurunkan penumpang dihadkan ke beberapa tempat tertentu.
“Selepas penguatkuasaan dilakukan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) di Singapura, sebahagian daripada pemandu Singapura mula beralih operasi ke Johor dan menawarkan perkhidmatan di sini (Johor) secara haram,” kata Encik Ashraff.
“Mereka memang memiliki permit sah untuk beroperasi di Singapura, tetapi tidak mempunyai kebenaran untuk menjalankan sebarang aktiviti mengambil atau menghantar penumpang di Malaysia.”
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, ketika dihubungi BH berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan SPHVA dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan maklumat berkaitan isu ini.
Encik Ashraff berkata perbuatan pemandu kereta persendirian dari Singapura yang menyediakan khidmat pengangkutan di Malaysia telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemandu teksi dan penyedia khidmat sewa persendirian atau privet di Johor.
“SPHVA berharap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa berkaitan dapat memperhebat rondaan serta mengambil tindakan tegas terhadap pemandu ini kerana jumlahnya semakin meningkat,” kongsinya.
Pengerusi Gabungan Tiga Persatuan Teksi Rentas Sempadan Johor Bahru-Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, berkata pemandu teksi rentas sempadan kini terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan pelanggan antara kesan langsung perkembangan ini.
“Kalau nak bercakap soal periuk nasi, kami kini perlu tunggu antara empat jam hingga seharian di Ban San Street, Singapura, untuk ambil penumpang. Ramai penumpang sudah diambil oleh pemandu kereta persendirian Singapura dari rumah mereka dan terus dihantar ke Johor,” jelasnya.
Keprihatinan pemandu khidmat penumpang di Johor itu dikongsi oleh SPHVA baru-baru ini di laman media social, di mana ia mengemukakan lapan tuntutan, termasuk melarang kenderaan khidmat sewa privet dari Singapura daripada memasuki Malaysia dan melarang pemandu kenderaan sedemikian daripada beroperasi secara haram di sana.
Satu gambar, menunjukkan tuntutan sedemikian, kini disebar luas di media sosial.
Encik Ashraff berkata pelekat tersebut timbul kerana ia dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap aktiviti haram pemandu Singapura yang kini semakin berani menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan tempatan.
“Pelekat itu mungkin datang daripada pihak atau persatuan yang kurang senang dengan lambakan kenderaan persendirian Singapura yang beroperasi secara tidak sah di Johor. Mereka bukan sahaja mengambil penumpang tempatan, tetapi turut menjalankan operasi di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar soal persaingan industri, tetapi turut melibatkan aspek keselamatan pengguna dan integriti undang-undang Malaysia.
Namun begitu, seorang pemandu khidmat kereta sewa privet dari Singapura yang enggan dinamakan menafikan dakwaan bahawa pemandu khidmat sewa privet dari Singapura mengambil penumpang di Johor.
Beliau, yang mewakili persatuan pemandu khidmat sewa privet dari Singapura berkata pihaknya telah mengarahkan semua ahli persatuan di Singapura untuk menghentikan sepenuhnya perkhidmatan ke Johor selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengambil tindakan terhadap beberapa kenderaan sewa persendirian milik warga Singapura.
“Dakwaan kenderaan kami mengambil penumpang di Johor tidak berasas. Apa yang kami lakukan sekarang hanyalah membawa penumpang dari Singapura terus ke Melaka dan Kuala Lumpur.
“Kami hanya singgah di Johor untuk mengisi minyak dan mencuci kenderaan sebelum masuk semula ke Singapura. Dulu kami memang ada hantar ke Legoland, Johor Premium Outlet, Angsana Johor Bahru dan Hard Rock Hotel Desaru, tetapi semua itu sudah dihentikan,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg