Persatuan Sewa Persendirian Johor Selatan (SPHVA) telah menyerahkan Memorandum Persefahaman (MoU) kepada Parlimen Malaysia pada 27 Ogos dalam usaha kumpulan itu untuk mendapatkan pengiktirafan kerajaan.
Langkah itu dilihat sebagai usaha penting untuk mendesak kerajaan menggubal dasar yang jelas bagi mengawal selia perkhidmatan tersebut yang telah lama menjadi nadi mobiliti masyarakat.
Terdahulu, SPHVA pada 15 Ogos telah meminta Ahli Parlimen (AP) Tebrau, Encik Jimmy Puah Wee Tse, untuk mewakili mereka di Parlimen untuk menyerahkan MoU berkenaan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
Pendekatan tersebut diambil selepas pihak Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap pemandu yang menjalankan perkhidmatan kenderaan sewa khas rentas sempadan Johor–Singapura.
Encik Puah dalam satu kenyataan pada 27 Ogos berkata MoU itu bukan sekadar dokumen rasmi, tetapi suara bersama pengusaha dan pemandu yang bertahun-tahun berkhidmat kepada masyarakat.
Menurutnya, perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan telah memberi pilihan perjalanan lebih fleksibel, selesa dan mesra pengguna kepada ribuan keluarga, namun sehingga kini beroperasi tanpa kerangka peraturan yang kukuh.
“Ketiadaan garis panduan yang jelas menjadikan industri ini berdepan ketidaktentuan, manakala keselamatan penumpang dan kebajikan pemandu tidak terjamin sepenuhnya.
“Sehubungan itu, kami menyeru agar kerajaan Malaysia dan Singapura merangka peraturan operasi rentas sempadan yang telus dan melindungi semua pihak terlibat,” katanya.
Encik Puah berkata penguatkuasaan yang sedia ada perlu diseragamkan supaya pengusaha sah tidak menjadi mangsa tindakan tegas yang dilaksanakan secara menyeluruh tanpa membezakan mereka yang beroperasi secara bertanggungjawab.
Beliau menegaskan kerajaan kedua-dua negara perlu memberi ruang kepada pengusaha tempatan untuk berkembang, agar industri itu dapat dibangunkan menjadi model perkhidmatan moden yang selamat, teratur dan mudah diakses.
“Dengan sokongan kerajaan dan semangat kerjasama dua hala, industri kereta sewa persendirian rentas sempadan mampu berkembang menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi serantau yang penting.
“Ia bukan sahaja menjamin kelangsungan hidup ribuan keluarga, tetapi turut memperkukuh hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura,” katanya.
Pengerusi SPHVA, Encik Muhammed Ashraff Kamal Batcha, berkata kepada Berita Harian (BH) bahawa pihaknya berharap memorandum itu dapat membuka ruang rundingan rasmi antara kerajaan Malaysia dengan Singapura bagi mencari penyelesaian adil termasuk mewujudkan lesen khas.
“Kami daripada pihak persatuan berharap agar MOT dan LTA Singapura boleh berbincang tentang isu ini.
“Kebanyakan daripada kami adalah pengusaha kecil yang hanya mahukan permit khas supaya kerja harian kami dapat diteruskan secara sah,” terangnya.
Menurut Encik Muhammed Ashraff, isu utama yang dibangkitkan pihak berkuasa Singapura ialah soal perlindungan insurans dan pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer).
Beliau berkata persatuan bersedia mematuhi semua keperluan tersebut sekiranya diberikan garis panduan jelas.
“Apa yang kami perlukan ialah petunjuk daripada pihak Singapura tentang jenis insurans yang sesuai agar tidak timbul kebimbangan rakyat mereka menaiki kenderaan kami tanpa perlindungan,” ujarnya.
Beliau menambah, inisiatif itu penting kerana ramai pengusaha bergantung kepada perkhidmatan rentas sempadan sebagai sumber pendapatan utama.
Dengan adanya peraturan jelas dan lesen khas, katanya, industri ini boleh beroperasi secara lebih teratur, selamat dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg