Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor bincang tingkat keberkesanan operasi CIQ bersama agensi kawalan sempadan

Sep 17, 2025 | 3:35 PM
Malaysia, Johor, CIQ, sempadan, Agensi Kawalan Pintu Sempadan, AKPS
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (kanan), bersama Ketua Pengarah Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (kiri). - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keberkesanan operasi di pintu sempadan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) menerusi siri perbincangan bersama Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pertemuan bersama Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, di Putrajaya membincangkan beberapa agenda utama bagi melancarkan urusan pengguna di kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

“Antaranya termasuk penjawatan pegawai imigresen khusus bagi Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Singapura dengan Johor Bahru, dan penjadualan semula syif pegawai di BSI dan KSAB.

“Kita juga membincangkan pelaksanaan sistem Kod Respons Pantas (QR) bagi mempercepatkan urusan imigresen, cadangan laluan baru pejalan kaki serta penyusunan semula pergerakan bas dan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 September.

Beliau menegaskan kerjasama erat antara agensi berkaitan amat penting bagi mengurangkan kesesakan, memperkukuh aspek keselamatan, dan memastikan kelancaran pergerakan di sempadan Johor-Singapura.

Dalam perkembangan lain, Encik Mohamad Fazli turut memaklumkan keadaan Jambatan J98 di Kluang yang kini berada dalam pemantauan rapi Jabatan Kerja Raya (JKR) Kluang dan Pejabat Daerah Kluang.

Menurut beliau, siasatan Pasukan Forensik Jambatan mendapati terdapat keretakan pada struktur jambatan berkenaan yang dikesan sejak November 2023.

Kerja naik taraf persimpangan dan pembaikan jambatan itu dijadualkan bermula pada 1 Oktober 2025 dan siap sepenuhnya pada 30 November 2025.

“JKR turut mengadakan libat urus bersama Bahagian Geoteknik untuk semakan lanjut terhadap substruktur. Jika ada keperluan tambahan, ia akan dipohon di bawah peruntukan konsesi. Setakat ini, tiada risiko kritikal dikesan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg