Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan Persekutuan, Johor uji aplikasi sistem imigresen baru

Pastikan kelancaran sistem imigresen di pintu masuk negara
Sep 3, 2025 | 11:25 AM
Imigresen, Singapura, Malaysia
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor sedang menguji satu aplikasi pelepasan imigresen baru di bawah Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bagi memastikan kelancaran sistem imigresen di pintu masuk negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pelaksanaan Kod Respons Pantas (QR) MyNiiSe merupakan hasil kerjasama erat antara agensi negeri dengan persekutuan, dan ujian awal menunjukkan keberkesanan sistem tersebut.

“Saya yakin dengan kemudahan Kod QR ini, perjalanan akan menjadi lebih mudah kerana pendaftaran awal secara digital mampu mengurangkan kesesakan di kaunter imigresen. Ujian rintis juga membuktikan keberkesanan sistem ini,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Menurut beliau, ujian sistem itu telah dilaksanakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Johor Bahru, dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Linkedua, sejak pertengahan Ogos dan melibatkan tiga zon iaitu zon kereta, zon motosikal dan dewan pejalan kaki.

Di BSI, sebanyak 16 unit ditempatkan di zon kereta (lapan di laluan masuk dan lapan di laluan keluar), tujuh unit di zon motosikal, serta empat unit di dewan pejalan kaki.

Bagi KSAB pula, terdapat 12 unit di zon kereta (enam di laluan masuk dan enam di laluan keluar), lapan unit di zon motosikal (empat di laluan masuk dan empat di laluan keluar), serta empat unit di dewan pejalan kaki.

Encik Fazli berkata penggunaan MyNiiSe akan digunakan kepada 63 negara yang layak, agar lebih ramai pelancong dan pengguna meraih manfaat.

“Inilah semangat kerjasama, apabila negeri dan persekutuan berganding bahu memudahkan rakyat,” katanya.

Mengenai aplikasi MyBorderPass, beliau menjelaskan ia masih boleh digunakan dan akan disepadukan sepenuhnya dengan sistem baru itu dalam masa terdekat.

Terdahulu, Berita Harian Malaysia melaporkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata projek fasa pertama NIISe yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), dijangka siap sebelum hujung 2025.

Ini sekali gus bermakna sistem bersepadu bawah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bagi menganalisis data itu akan siap lebih awal berbanding jangkaan 2026 sebelum ini.

NIISe bakal membolehkan Imigresen menganalisis data yang disepadukan dengan pelbagai agensi lain, bagi meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan jabatan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg