Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor giat rancang lancarkan trafik RTS Link, projek rakyat berimpak tinggi

Sep 13, 2025 | 6:15 AM
Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Kerajaan Johor memberi jaminan bahawa segala persiapan sedang dipergiat menjelang tempoh setahun sebelum projek Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru–Singapura mula beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata perhatian kini turut diberikan kepada projek Sistem Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) yang bakal menjadi pelengkap kepada RTS dalam mengurus aliran penumpang di pusat bandar.

“Projek E-ART ini berkait rapat dengan soal kos. Tender sudah selesai dan Inisiatif Dana Swasta (PFI) turut dipertimbangkan.

“Kita difahamkan proses penilaian telah selesai, dan kini kita menunggu keputusan muktamad Kabinet mengenai kontraktor pelaksana.

“Harapan kita, projek ini boleh dimulakan sebelum akhir tahun (2025),” katanya kepada Berita Harian (BH).

Sementara menunggu E-ART dimulakan, kerajaan Johor memberi tumpuan kepada perkhidmatan bas MyBus 1.5 yang menjadi langkah peralihan bagi menyokong penyuraian trafik.

Tambahan unit bas bagi kawasan Johor Bahru telah diluluskan dan kini menunggu pelaksanaan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan.

“Selain itu, pada hujung 2025 kita juga menjangkakan pertambahan 12 set kereta api elektrik (ETS) berbanding hanya dua set ketika ini.

“Ini akan meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel ke Johor Bahru dan memberi lebih pilihan kepada rakyat untuk beralih kepada pengangkutan awam,” jelasnya.

Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) ke Johor Bahru mula beroperasi pada Ogos 2025, dengan fasa pertama bermula dari Gemas ke Segamat, diikuti dengan fasa seterusnya ke Kluang dan akhirnya Johor Bahru

Dalam pada itu, Encik Fazli turut memaklumkan bahawa Bajet 2026 di bawah portfolionya akan memberi tumpuan kepada projek yang dekat dengan rakyat, berasaskan kos rendah tetapi berimpak tinggi.

“Fokus utama kita ialah dua perkara; menangani kesesakan lalu lintas dan isu banjir. Contohnya, pelebaran simpang serta pembinaan jalan baru berkos rendah tetapi memberi kesan segera kepada pengguna,” katanya.

Beliau menegaskan, antara pembaharuan penting yang akan dilakukan pada 2026 ialah pelaksanaan kajian awal berdaya laksana seperti Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Impak Trafik (TIA) sebelum projek diluluskan.

“Selama ini banyak projek dilaksanakan tanpa kajian awal yang teliti, menyebabkan berlaku kelewatan, masalah tanah dan utiliti, malah ada yang terbengkalai.

“Dengan pendekatan baru ini, kita mahu pastikan setiap projek benar-benar berkesan, tersusun dan memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg