JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mencadangkan kepada operator bas Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) – laluan di Koswe – untuk memulakan masa operasi bas lebih awal iaitu pada 4.30 pagi.
Ini berbanding jadual kini antara 5 hingga ke 5.30 pagi setiap hari.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pihaknya juga mencadangkan mereka menambah bilangan frekuensi atau perjalanan berikutan bilangan penumpang bas yang sentiasa meningkat pada setiap bulan.
Beliau berkata berdasarkan statistik daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), purata pertambahan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas berkenaan ialah 1,000 hingga 3,000 orang setiap bulan.
“Bagaimanapun, cadangan bagi mengawal operasi bas ini akan diperhalusi oleh pihak Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura memandangkan operasi MRT di Singapura bermula pada 5.35 pagi.
“Bagi cadangan penambahan perjalanan pula pihak LTA sendiri akan berbincang dengan setiap operator berkaitan cadangan ini disebabkan membabitkan kos dan operasi setiap operator,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada 21 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, Encik Mohamad Fazli melakukan lawatan ke BSI selama dua jam bermula 4 pagi tadi bersama LTA Singapura dan operator bas awam bagi memantau perjalanan operasi kaunter serta bas, selain melihat sendiri keadaan orang ramai yang beratur panjang untuk menunggu bas.
Operator terbabit merangkumi Handal Indah Sdn Bhd; SBS Transit Ltd; SMRT Buses Ltd; Ridewell Travel Pte Ltd; The Singapore-Johore Expressway (Private) Ltd dan Transtar Travel & Tours Pte Ltd.
“LTA memaklumkan kepada saya bahawa isu ini akan dibincang dan akan diputuskan dalam tempoh terdekat. Bagi pihak Bas Handal Indah pula, mereka menyediakan bas 24 jam sehari dengan minimum setiap 30 minit pada waktu bukan sibuk dan hampir 150 perjalanan pada waktu sibuk,” katanya.
“
“...Cadangan bagi mengawal operasi bas ini akan diperhalusi oleh pihak Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura memandangkan operasi MRT di Singapura bermula pada 5.35 pagi.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg