JOHOR BAHRU: Ribuan pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik menggunakan bas terjejas pada 21 Julai, apabila kira-kira 100 pemandu bas ulang-alik ke Singapura mogok sejak 5 pagi.
Ini menyebabkan ribuan pekerja itu yang mengejar waktu bekerja terkandas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, dan beberapa lokasi hentian bas utama untuk ke Singapura.
Pekerja restoran di Singapura, Encik Munir Selamat, 34 tahun, berkata beliau terkejut apabila mendapati barisan untuk menaiki bas ke republik itu sesak sebaik tiba di BSI pada 6.30 pagi.
Selepas menunggu hampir setengah jam, beliau serta pekerja Malaysia di Singapura yang lain mengambil keputusan untuk berjalan kaki dari BSI merentas Tambak Johor untuk ke Singapura yang berjarak kira-kira 1.05 kilometer (km).
“Saya dan yang lain terkejut dan terpinga-pinga apabila mendapati barisan untuk menaiki bas ke Singapura sangat panjang sebelum diberitahu pemandu bas mogok hari ini (21 Julai).
“Kami tiada pilihan lain selain untuk berjalan kaki masuk ke Singapura kerana tidak mahu terlewat memulakan kerja sehingga menjejaskan kami juga nanti,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Terdahulu, tular di media sosial keluhan pekerja Malaysia di Singapura yang terjejas lewat memulakan kerja apabila pemandu bas ke Singapura mogok susulan isu gaji.
Barisan panjang didakwa bermula dari lorong pemeriksaan pasport di BSI di tingkat atas hingga ke platform bas menyebabkan ribuan terkandas.
Rakaman video pekerja Malaysia di Singapura yang berjalan kaki beramai-ramai di Tambak Johor turut tular dan dikongsi pekerja Malaysia yang selesai bekerja dan pulang menaiki motosikal ke bandaraya ini.
Sementara itu, pemandu bas ke Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Atoi, 35 tahun, mendakwa kira-kira 100 pemandu bas ke Singapura nekad mogok bermula 5 pagi.
Katanya ia berikutan ketidakpuasan hati pemandu bas terhadap penyelarasan gaji baru dibuat syarikat bas yang dilihat menganiaya pemandu susulan berlaku pengurangan gaji mereka dengan ketara.
“Penyelarasan gaji terbaru yang berkuatkuasa dua bulan lalu kami anggap melampau kerana ia menyebabkan pendapatan kami berkurangan ketara di saat kenaikan kos sara hidup.
“Contohnya sebelum ini pemandu bas Malaysia ke Singapura diberi gaji antara RM2,800 ($848) hingga RM2,900 sebulan, namun penyelarasan gaji dibuat menyebabkan kami hanya mendapat gaji tidak sampai RM2,000 sebulan.
“Ini tidak termasuk syarat wajib yang tidak adil ditetapkan iaitu penambahan perjalanan wajib daripada empat kepada lima yang menjejaskan tuntutan lebihan perjalanan selain pemotongan gaji yang tidak jelas,” katanya kepada BHM.
Difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, sedang mengadakan pertemuan dengan syarikat serta pemandu bas bagi menyelesaikan isu mogok berkenaan.
Beberapa pemandu bas yang tidak berpuas hati juga dilaporkan sudah pulang, manakala sebahagian kecil bersetuju untuk meneruskan perjalanan kira-kira 10.30 pagi.
Sementara itu, pemeriksaan di lama Facebook syarikat bas berkenaan mendapati tiada sebarang notis mengenai isu perjalanan bas ke Singapura yang terjejas dimuat naik, setakat ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg