Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor catat pelaburan cecah RM59.4b bagi separuh pertama 2026
Tumpuan diberi kepada perlaksanaan projek yang telah diluluskan, kemudahan kesihatan antara yang dipertingkat
Johor catat pelaburan cecah RM59.4b bagi separuh pertama 2026
JOHOR BAHRU: Ekonomi Johor berkembang 8 peratus pada 2025 kepada RM170.9 bilion ($52.8 bilion), manakala sebanyak RM59.4 bilion pelaburan diluluskan dalam separuh pertama 2026.
Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kadar pertumbuhan ekonomi Johor itu adalah antara yang tertinggi dicatatkan pada tahun 2025.
Beliau berkata prestasi pelaburan bagi separuh pertama tahun 2026 turut menunjukkan Johor terus menjadi antara destinasi utama pelaburan dalam negara.
“Johor mencatatkan pertumbuhan 8 peratus pada 2025, dengan nilai ekonominya berkembang kepada RM170.9 bilion.
“Bagi separuh pertama 2026 pula, sebanyak RM59.4 bilion pelaburan diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Serahan Cek Cura Klinik Kesihatan di Parlimen Johor Bahru, di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee, di sini, pada 17 September.
Bagaimanapun, Encik Akmal Nasrullah berkata tumpuan kini bukan sekadar mengejar jumlah pelaburan lebih besar, tetapi memastikan projek yang telah diluluskan benar-benar dilaksanakan.
Menurutnya, pelaburan yang diumumkan atau diberikan komitmen lazimnya memerlukan tempoh sehingga tiga tahun untuk diwujudkan sepenuhnya.
“Walaupun angka pelaburan yang direkodkan menggalakkan, cabarannya ialah bagaimana kita merealisasikan pelaburan tersebut pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya.
“Ketika ini, tumpuan saya adalah kepada pelaksanaan,” katanya.
Tambahnya, prestasi RM59.4 bilion bagi enam bulan pertama memberikan asas yang kukuh, namun pencapaian bagi separuh kedua tahun ini bergantung pada keadaan ekonomi dan kadar kemasukan projek baru.
Encik Akmal Nasrullah berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kekal antara penyumbang terbesar kepada prestasi pelaburan Johor dengan nilai pelaburan berkaitan sekitar RM50 bilion.
Sektor eksport melibatkan pembuatan barangan elektrik dan elektronik, mesin serta peralatan turut mencatatkan pertumbuhan yang baik.
Pada masa sama, sebanyak RM4.8 bilion perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan telah diperuntukkan untuk dilaksanakan di Johor sepanjang 2026.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perbelanjaan pembangunan perlu diterjemahkan kepada peningkatan mutu kehidupan rakyat.
“Cabaran kita adalah memastikan pelaburan dan perbelanjaan pembangunan bukan sahaja memacu pertumbuhan, tetapi turut meningkatkan mutu kehidupan rakyat Johor,” katanya.
Sehubungan itu, penyediaan kemudahan awam juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi dan pertambahan penduduk negeri.
Melalui program berkenaan, sebanyak RM169,000 daripada peruntukan Parlimen Johor Bahru disalurkan kepada lima kemudahan kesihatan bagi meningkatkan keselesaan pesakit dan menyokong kelancaran penyampaian perkhidmatan.
Kemudahan terbabit ialah Klinik Kesihatan Tebrau, Klinik Kesihatan Majidee, Klinik Ibu dan Anak Majidee, Klinik Desa Antoi serta Klinik Kesihatan Larkin.
Peruntukan tersebut digunakan antaranya untuk menyediakan alat penghawa dingin, menambah baik kemudahan, menjalankan kerja mengecat dan memasang bumbung teduh.
“Sumbangan RM169,000 ini menangani keperluan segera di kemudahan kesihatan sedia ada,” katanya.
Dalam jangka panjang, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 Majidee yang baru telah melalui proses penilaian dan diperakukan.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek itu masih tertakluk kepada peruntukan dalam Belanjawan 2027.
Tapak bagi klinik tersebut sudah dikenal pasti dan pembinaannya dirancang sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan perkhidmatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, pergigian, farmasi serta makmal.
