JOHOR BAHRU: Maybank telah memudah cara pembiayaan dan pelaburan bernilai hampir RM20 bilion ($6.2 bilion) berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sedang kededua pihak mempergiat usaha menarik syarikat bernilai tinggi ke Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerjasama dengan institusi kewangan dan pemain industri penting untuk membawa pelaburan bermutu, teknologi, kepakaran serta peluang perniagaan ke negeri itu.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbincangan meja bundar bersama Maybank Singapura dan Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF), yang menghimpunkan wakil 39 syarikat serta pertubuhan.

Peserta terdiri daripada sektor kewangan, pengilangan dan kejuruteraan, kesihatan, ekonomi digital, prasarana serta kemudahan awam.

Perbincangan meja bundar bersama Maybank Singapura dan Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF), turut menghimpunkan wakil 39 syarikat serta pertubuhan yang terdiri daripada sektor kewangan, pengilangan dan kejuruteraan, kesihatan, ekonomi digital, prasarana serta kemudahan awam.
Perbincangan meja bundar bersama Maybank Singapura dan Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF), turut menghimpunkan wakil 39 syarikat serta pertubuhan yang terdiri daripada sektor kewangan, pengilangan dan kejuruteraan, kesihatan, ekonomi digital, prasarana serta kemudahan awam. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

“Saya merakamkan penghargaan kepada Maybank yang telah memudah cara hampir RM20 bilion pembiayaan dan pelaburan berkaitan JS-SEZ, serta SMF yang giat membawa syarikat meneroka peluang di Johor,” katanya dalam kenyataan pada 24 Ogos.

Datuk Onn Hafiz turut membentangkan pencapaian ekonomi Johor bagi 2025, apabila negeri itu mencatat pertumbuhan 8 peratus – tertinggi di Malaysia – dengan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) mencecah RM170.9 bilion.

Johor turut merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion.

Daripada jumlah itu, RM77 bilion pelaburan melibatkan hampir 400 projek di kawasan JS-SEZ dan dianggarkan mampu mewujudkan lebih 24,500 pekerjaan baru.

Menurut Datuk Onn Hafiz, Pelan Transformasi Ekonomi Johor digunakan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

Majlis Pembangunan Bakat Johor pula menyelaraskan latihan berdasarkan keperluan sebenar industri menerusi kerjasama dengan syarikat, universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional di Johor.

Dalam perkembangan berkaitan, Maybank dan SMF memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bagi membantu lebih banyak syarikat pengilangan meneroka peluang serta mengembangkan operasi menerusi JS-SEZ.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata sambutan masyarakat perniagaan Singapura terhadap sesi meja bundar itu amat menggalakkan.

Beliau berkata rombongan Johor turut bertemu dua syarikat dalam sektor elektrik dan elektronik serta kesihatan, selain melawat sebuah syarikat semikonduktor.

“JS-SEZ bukan sekadar satu zon di atas peta. Ia mesti menjadi jambatan yang menghubungkan kekuatan Singapura dengan ruang, bakat, industri dan potensi Johor,” katanya.

Menurut Encik Lee, pertemuan dengan beberapa menteri Singapura turut memberikan perhatian kepada usaha memudahkan urusan perniagaan, melancarkan pergerakan manusia dan barangan serta membangunkan tenaga mahir.

“Apabila Johor dan Singapura berkembang bersama, kita bukan berebut kek ekonomi yang sama, tetapi membesarkan kek itu bersama-sama.

“Tugas kita sekarang adalah memastikan peluang ini diterjemahkan kepada pelaburan, pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan pendapatan dan peluang lebih besar untuk rakyat,” katanya.