Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor tarik potensi pelaburan lebih RM5b hasil lawatan ke S’pura
Pelaburan libat teknologi optik, teknologi kesihatan dan peralatan perkilangan semikonduktor
JOHOR BAHRU: Johor berjaya menarik potensi pelaburan bernilai lebih RM5 bilion ($1.5 bilion) dalam beberapa sektor strategik dan berteknologi tinggi hasil siri pertemuan dengan pelabur di Singapura.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelaburan berpotensi itu melibatkan teknologi optik berkelajuan tinggi, teknologi kesihatan dan peralatan perkilangan semikonduktor.
“Perkembangan ini mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan dan pusat pertumbuhan baru di rantau ini.
“Sektor ini bukan sahaja membawa pelaburan, malah teknologi, kepakaran dan peluang pekerjaan baru ke Johor,” katanya dalam kenyataan pada 21 Ogos.
Menurut Datuk Onn Hafiz, ketersediaan tenaga berbakat dan pekerja berkemahiran tinggi menjadi antara perkara utama yang diberikan perhatian pelabur.
Justeru, pembangunan bakat menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) akan terus menjadi keutamaan, dengan latihan disesuaikan berdasarkan keperluan sebenar industri.
“Kita mahu apabila pelaburan masuk, anak-anak Johor sudah bersedia mengisi pekerjaan yang diwujudkan,” katanya.
Pusat Pemudahcaraan Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) pula akan membantu mempercepat dan memudahkan urusan pelaburan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Onn Hafiz berkata sebanyak 1,436 pertanyaan pelaburan diterima menerusi IMFC-J sejak Januari 2025.
Jumlah itu termasuk 43 prospek pelaburan yang dirujuk oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) Singapura dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG).
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, bagi menyelaras langkah seterusnya untuk melaksanakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) secara tersusun dan berkesan.
Perbincangan memberikan perhatian kepada persediaan melancarkan Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ menjelang akhir 2026.
Usaha menarik pelabur strategik berimpak tinggi, memperkukuh rantaian bekalan dan penglibatan perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta memudahkan urusan perniagaan dan pergerakan barangan rentas sempadan turut dibincangkan.
“Kemasukan pelaburan bukan sahaja perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi untuk anak-anak Johor, malah membuka peluang kepada syarikat, pembekal, SME dan usahawan tempatan untuk berkembang bersama.
“Kita juga mahu memastikan limpahan ekonomi JS-SEZ dapat dinikmati oleh negeri dan seluruh Bangsa Johor,” katanya.
Datuk Onn Hafiz menyifatkan pertemuan itu sebagai positif dan berharap kerjasama erat Johor-Singapura dapat memastikan segala perancangan JS-SEZ dilaksanakan dengan baik dan teratur.
