SPH Logo mobile
Langgan|

Johor catat sejarah pelaburan diluluskan tertinggi negara RM110b

Johor catat sejarah pelaburan diluluskan tertinggi negara RM110b

Pertumbuhan GDP 6.4% bukti hala tuju pembangunan negeri berada di landasan tepat
Mar 26, 2026 | 4:04 PM

Johor catat sejarah pelaburan diluluskan tertinggi negara RM110b

pelaburan Johor, ekonomi Johor, Maju Johor 2030
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Encik Lee Ting Han. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

JOHOR BAHRU: Ekonomi Johor melonjak cemerlang empat tahun kebelakangan ini, termasuk mencatat sejarah pelaburan diluluskan tertinggi negara, mencecah RM110 bilion ($35 bilion) pada 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata kejayaan itu merupakan cerminan dasar pembangunan negeri yang dilaksanakan dengan gigih dan berkesan.

Pada 2024, Johor turut memacu pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) terpantas di Malaysia, iaitu 6.4 peratus.

“Ini menunjukkan asas ekonomi negeri semakin kukuh dan hala tuju pembangunan yang kita ambil adalah tepat,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 Mac.

Beliau menambah, pencapaian itu bukan kebetulan, tetapi terhasil daripada kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan, sokongan padu sektor swasta, serta keyakinan teguh pelabur terhadap kestabilan dasar Johor.

Menurut Encik Lee, pelaburan yang masuk bukan sekadar angka, tetapi membawa manfaat besar kepada rakyat.

“Setiap pelaburan membuka peluang pekerjaan baru, peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan serta peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk berkembang dalam rantaian bekalan sejagat,” katanya.

Encik Lee menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan ekonomi bersifat inklusif dan mampan.

“Kita bukan sekadar mengejar angka, tetapi memastikan hasil pembangunan ini benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya.

Momentum pertumbuhan itu akan terus diperkukuh pada tahun 2026 dan seterusnya melalui pelaksanaan agenda Maju Johor 2030.

“Kita bertekad memastikan Johor terus menjadi negeri yang berdaya saing, berdaya tahan dan penuh peluang untuk generasi masa depan,” katanya.

Menurutnya, pencapaian yang diraih setakat ini adalah hasil usaha kolektif melibatkan penjawat awam, rakan industri serta masyarakat.

“Empat tahun ini adalah satu permulaan. Kita telah bekerja keras dan kini mula melihat hasilnya, namun kita akan terus berusaha lebih kuat untuk memastikan momentum ini berterusan,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg