JS-SEZ pacu lonjakan ekonomi Johor, cipta peluang kerja bermutu
JS-SEZ pacu lonjakan ekonomi Johor, cipta peluang kerja bermutu
Pelaburan RM110 bilion bukti keyakinan pelabur terhadap negeri
Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah pemangkin baharu kepada ekonomi Johor dengan membuka ruang pelaburan berimpak tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan bermutu untuk rakyat negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata inisiatif strategik itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, malah menjadikan Johor pintu masuk utama pelaburan serantau.
Menurut beliau, JS-SEZ menarik pelaburan dalam sektor teknologi, logistik, tenaga bersih serta industri bernilai tinggi yang mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Johor.
“Pelaburan ini bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi turut diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan serta masa depan yang lebih terjamin untuk generasi muda Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Mac.
Kejayaan ini, kata beliau, mencerminkan kepimpinan dan visi jauh yang menekankan bahawa setiap pelaburan mesti memberi kesan sebenar kepada rakyat.
Johor mencipta sejarah dengan merekodkan pelaburan tertinggi negara, mencecah RM110 bilion ($35.8 bilion) pada 2025.
“Pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi diterjemahkan secara langsung kepada manfaat rakyat apabila dijangka membuka lebih 24,000 peluang pekerjaan baru,” katanya.
Secara keseluruhan, Encik Lee berkata, Johor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion serta mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Pencapaian itu, tegas beliau, menunjukkan Johor berada di landasan kukuh dan terus mendapat kepercayaan pelabur tempatan dan luar negara.
Beliau berkata prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor sangat memberangsangkan, malah negeri itu mencatat pertumbuhan tertinggi di Malaysia pada 2024.
Johor kekal penyumbang utama ekonomi negara dengan pertumbuhan stabil hasil kepelbagaian sektor seperti pembuatan, perkhidmatan, logistik serta ekonomi digital.
Seiring perkembangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pelbagai projek untuk melancarkan trafik akan diperhebat demi kelancaran pergerakan di negeri itu.
Antara inisiatif utama termasuk pengoperasian kereta api elektrik (ETS), pembangunan Stesen Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura, serta pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Senai-Desaru.
Usaha ini bukan sekadar mengurangkan kesesakan, tetapi juga memperkukuh mobiliti rakyat dan menyokong denyut nadi ekonomi negeri.
Selain itu, Encik Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri itu turut menekankan pengurusan sumber air lestari, memastikan bekalan kekal stabil untuk kegunaan domestik, industri dan pelaburan.
Pembangunan dan penambahbaikan prasarana jalan raya juga menjadi fokus utama, menjamin sistem perhubungan darat Johor terus cekap dan selamat.
“Jalan raya bermutu bukan sahaja memudahkan pergerakan, malah menjadi pemangkin pembangunan kawasan baru dan pertumbuhan ekonomi negeri,” tegas beliau.
Segala perancangan dan usaha itu bertujuan menterjemahkan pembangunan negeri itu kepada manfaat nyata untuk rakyat.
“Dengan semangat Bangsa Johor, kita akan terus memperkukuh pembangunan agar Johor kekal maju, berdaya saing, dan sejahtera di masa hadapan,” katanya penuh optimis.

