ISKANDAR PUTERI (Johor): Pelabur asing yang melabur di Zon Ekonomi Khas Johor Selatan (JS-SEZ) bersetuju menawarkan gaji premium kepada tenaga kerja tempatan, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata walaupun pelabur bersedia membayar gaji lebih tinggi, mereka menetapkan dua syarat utama – iaitu tahap produktiviti dan kemahiran teknikal yang setara dengan kadar gaji yang ditawarkan, lapor Berita Harian Malaysia.
“Isu tangga gaji dan peluang pekerjaan menjadi antara soalan utama yang dibangkitkan semasa sesi libat urus antara Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bersama pelabur,” katanya ketika menjawab soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 20 Mei.
Beliau berkata pada peringkat Persekutuan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menetapkan syarat komposisi tenaga kerja dalam sektor pembuatan, iaitu 80 peratus pekerja tempatan dan 20 peratus pekerja asing.
“Bagi pihak kerajaan negeri pula, kita menggalakkan supaya gaji minimum bagi pemegang diploma ditetapkan pada kadar RM3,500 ($1,054) ke atas, manakala pemegang ijazah pula menerima gaji RM4,000 ke atas. Saya ingin maklumkan bahawa majoriti pelabur di Johor bersetuju dengan cadangan ini,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri sedang melaksanakan kerjasama strategik antara Johor Skills dan universiti tempatan bagi memastikan penawaran kemahiran selari dengan keperluan pelabur.
Sebagai contoh, katanya, beliau baru-baru ini bertemu wakil syarikat dari China yang telah melabur RM500 juta di Johor dalam fasa pertama pelaburan dan dijangka mencapai RM3 bilion dalam fasa-fasa seterusnya.
“Mereka menyatakan komitmen untuk mengambil tenaga kerja mahir tempatan. Kita akan bantu salurkan sumber ini. Mereka juga bersetuju menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
“Ini antara usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan ekonomi turut memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutamanya melalui peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Encik Muszaide Makmor (BN-Sedili), Datuk Onn Hafiz menolak dakwaan bahawa pelaksanaan JS-SEZ menjadi punca kepada peningkatan kos sara hidup di Johor, sebaliknya menyifatkan ia sebagai fenomena global dan nasional.
“Inflasi dan peningkatan kos sara hidup tetap berlaku sama ada JS-SEZ dilaksanakan atau tidak. Sebab itu, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif melalui inisiatif seperti Program Bakul Rakyat, Jualan Kasih, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), dan kawalan barangan bersubsidi seperti minyak masak peket,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg