Topik diikuti
Pergi ke BHkuHospital Sultanah Aminah terima peruntukan lebih RM60j
Hospital Sultanah Aminah terima peruntukan lebih RM60j
Jabatan Kecemasan dipindah sementara mulai 3 Ogos, kerja naik taraf dijangka siap dalam tempoh enam bulan
Hospital Sultanah Aminah terima peruntukan lebih RM60j
JOHOR BAHRU: Lebih RM60 juta ($18 juta) telah diperuntuk oleh kerajaan Johor bagi menaik taraf kemudahan kesihatan di seluruh negeri, dengan Hospital Sultanah Aminah (HSA) menjadi antara hospital yang menerima peruntukan terbesar dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata beliau bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah meninjau perkembangan kerja naik taraf di HSA yang kini sedang giat dilaksanakan.
Beliau berkata sebahagian besar wad di bangunan utama hospital telah siap dinaik taraf, manakala kerja di pintu masuk utama dijangka selesai menjelang penghujung Ogos sebelum projek diteruskan ke Jabatan Kecemasan.
“Bagi memastikan kerja naik taraf dapat dilaksanakan dengan lancar, Jabatan Kecemasan HSA akan dipindahkan sementara mulai 3 Ogos 2026 ke bangunan yang sebelum ini digunakan sebagai wad bersalin,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 Julai.
Menurut Encik Ling, walaupun lokasi sementara itu mempunyai ruang lebih terhad, pihak hospital telah melaksanakan pengubahsuaian yang diperlukan bagi memastikan operasi tidak terjejas.
Beliau berkata kerajaan Johor turut akan menyediakan khemah sementara bagi menambah kapasiti ruang supaya Jabatan Kecemasan dapat terus beroperasi sepanjang tempoh pembinaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang tidak mengalami kecemasan supaya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan berhampiran bagi mengurangkan kesesakan di HSA.
“Bagi pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan, mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) atau Hospital Pasir Gudang sepanjang tempoh kerja-kerja naik taraf dijalankan,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan kecemasan dapat menerima perkhidmatan dengan lebih cepat dan selesa.
Encik Ling berkata projek menaik taraf Jabatan Kecemasan dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan dan orang ramai diminta bersabar sepanjang tempoh pelaksanaannya.
“Kami memohon kerjasama serta kesabaran semua pihak sepanjang projek ini dilaksanakan demi memastikan HSA dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, moden dan cekap pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memantau kemajuan projek berkenaan bagi memastikan semua kerja disiapkan mengikut jadual, sekali gus membolehkan HSA terus memperkukuh peranannya sebagai hospital rujukan utama di Johor.
“Semoga kerja-kerja naik taraf ini dapat disiapkan mengikut jadual agar HSA terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, cekap dan bermutu demi kesejahteraan seluruh rakyat Johor,” katanya.
