Topik diikuti
Pergi ke BHku1,192 jawatan kosong kekang Hospital Pasir Gudang beroperasi sepenuhnya
1,192 jawatan kosong kekang Hospital Pasir Gudang beroperasi sepenuhnya
Onn Hafiz mohon Kementerian Kesihatan percepat pengambilan kakitangan
1,192 jawatan kosong kekang Hospital Pasir Gudang beroperasi sepenuhnya
PASIR GUDANG: Lebih separuh daripada 2,271 jawatan yang diperuntukkan di Hospital Pasir Gudang masih kosong, menyebabkan beberapa wad yang telah siap sejak tahun lalu belum dapat dibuka kepada pesakit.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata hanya 1,079 jawatan telah diisi, manakala baki 1,192 jawatan membabitkan pakar perubatan, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan petugas lain masih belum mempunyai penyandang.
Beliau berkata kekurangan tenaga kerja itu menyebabkan hospital berkenaan belum dapat beroperasi pada kapasiti penuh meskipun mempunyai bangunan, peralatan moden dan kemudahan rawatan yang lengkap.
“Hospital ini telah dibuka sejak tahun 2025. Namun, disebabkan tenaga kerja tidak mencukupi, wad yang sudah siap selama setahun masih tidak dapat dibuka kepada orang ramai.
“Saya memohon Kementerian Kesihatan Malaysia supaya menyelesaikan isu kekurangan jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan pakar, bukan sahaja di Hospital Pasir Gudang, malah di Johor secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan selepas meninjau hospital itu pada 4 Ogos.
Lawatan berkenaan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon.
Hospital Pasir Gudang mula dibina pada 2018 sebelum diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Kesihatan pada 29 Jun 2025.
Hospital itu kemudian memulakan operasi secara berperingkat pada 1 Ogos 2025.
Sasaran seterusnya adalah untuk hospital berkenaan beroperasi sepenuhnya menjelang September ini, namun pencapaian itu bergantung kepada pengisian jawatan yang masih kosong.
Datuk Onn Hafiz berkata Hospital Pasir Gudang amat diperlukan untuk memenuhi keperluan penduduk Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya yang berkembang pesat, selain mengurangkan tekanan terhadap hospital lain di Johor Bahru.
Hospital itu mempunyai pelbagai bidang kepakaran termasuk pediatrik, sakit puan dan perbidanan, ginekologi, anestesiologi, radiologi, patologi, ortopedik, otorinolaringologi serta oftalmologi.
“Hospital Pasir Gudang mempunyai potensi besar untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di Johor dan mengurangkan beban hospital sedia ada.
“Inilah cabaran sebenar yang perlu diberikan perhatian segera. Proses pengisian jawatan perlu dipercepatkan supaya hospital ini dapat beroperasi sepenuhnya seperti yang dirancang,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan keperluan hospital berkenaan dapat dipenuhi dan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan terbaik.
Sementara itu, Encik Ling berkata kekosongan jawatan kritikal mengehadkan pembukaan wad dan perkhidmatan rawatan, selain meningkatkan beban tugas pegawai serta kakitangan yang sedang berkhidmat.
“Hospital yang lengkap dengan bangunan, kemudahan dan peralatan tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa tenaga kerja mencukupi.
“Pengisian jawatan bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan mendesak bagi memastikan Hospital Pasir Gudang mencapai operasi penuh,” katanya.
Encik Ling berkata kekurangan kakitangan bukan sahaja menjejaskan keupayaan hospital menerima lebih ramai pesakit, malah boleh menyebabkan keletihan melampau dalam kalangan petugas barisan hadapan.
“Rakyat Johor berhak menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, cekap dan setanding dengan kemudahan yang telah disediakan,” katanya.